KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.
Harga diesel bersubsidi semasa sebanyak RM2.15 seliter berbanding harga pasaran RM3.74
Ini bermakna, kerajaan menanggung RM1.60 seliter bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024.
Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang 3 peratus.
“Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah.
Perdana Menteri berkata, secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.
Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.
“Dengan pendekatan tersebut, ianya dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat. – MalaysiaGazette