MELAKA – Seorang remaja lelaki cuba menyelamatkan rakannya yang hampir lemas ketika meraikan majlis perpisahan guru dikatakan punca dirinya mati lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak, Sungai Udang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Faris Darwisy Mohd Faizal, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak tiba di pantai berkenaan bersama 14 pelajar dan dua guru sekolah berkenaan pada pukul 4.30 petang.

“Mangsa tiba di pantai berkenaan bersama 14 rakannya untuk meraikan hari terakhir guru pelatih mengajar di sekolah mereka dengan mengadakan majlis makan-makan di situ.

“Namun hanya mangsa dan seorang lagi rakannya memilih untuk mandi pada pukul 6 petang sebelum rakannya itu hampir lemas tetapi berjaya diselamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambah Christopher, kemudiannya rakannya dan guru hanya menyedari mangsa tiba-tiba terkapai-kapai dan hilang tanpa sempat diberi bantuan oleh guru dan pelajar lain.

“Operasi melibatkan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan 13 anggota pasukan skuba BBP Masjid Tanah sebelum mayat ditemui pasukan skuba komando tentera darat pada pukul 9.25 malam.

“Mayat ditemui pada kedudukan kira-kira 50 meter daripada tempat terakhir pelajar tersebut dilihat mandi dan disahkan meninggal dunia dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambahnya, jenazah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja mati lemas di Pantai Mutiara ditemui

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast