Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi menafikan dirinya memfitnah Datuk Seri Amirudin Shari sehingga menjatuhkan reputasi Menteri Besar Selangor itu.

Sebaliknya dakwa Muhammad Sanusi, Amirudin yang sebenarnya telah berkali-kali memfitnahnya sehingga reputasinya terjejas sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan mengenai tatakelola kerajaan Negeri Selangor ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Jelasnya, menjelang PRN enam negeri pada Ogos lalu, Amirudin didakwanya membuat beberapa kenyataan menghinanya dan antaranya dengan menggelarnya pengecut dan kurang ajar.

“Ini plaintif (Amirudin) sendiri yang telah mengeluarkan kata-kata dan tuduhan fitnah terhadap defendan (Muhammad Sanusi) maka defendan terpaksa mempertahankan diri dengan menimbulkan isu-isu tatakelola.

“Isu-isu itu yang menjadi perbualan dan tanda tanya (dalam) kalangan masyarakat berkaitan dengan pentadbiran plaintif dan perkara berkepentingan awam berdasarkan fakta benar,” katanya dalam jawapan bertulis di Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 10 Oktober lalu bagi menjawab pembelaan beliau terhadap saman fitnah oleh Amirudin.

Jawapan bertulis itu diedarkan kepada wakil media hari ini.

Antara isu berkepentingan itu termasuklah Projek Selangor Maritime Gateway yang melibatkan pelebaran dan pendalaman Sungai Klang dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Muhammad Sanusi juga menafikan dirinya telah menuduh Amirudin secara langsung menyebabkan kerajaan Selangor rugi RM180 juta sebaliknya hanya menyatakan projek itu berpotensi mencatat kerugian dan tidak mengaitkan Menteri Besar Selangor.

Kata Muhammad Sanusi, beliau juga tidak secara terangan menyebut Amirudin adalah seorang menteri besar yang tidak cekap, korup, kronisme dan pilih kasih.

Malah, katanya, dirinya tidak pernah mendakwa Amirudin telah berpakat dengan seorang ahli perniagaan Cina dan memperkayakannya.

“Sebagai ahli politik, memang banyak cemuhan, penghinaan dibuat rakyat termasuklah untuk diri saya sendiri. Ucapan saya ini tidaklah menyebabkan reputasi Amirudin terjejas lebih apa yang diungkapkan rakyat.

“Plaintif masih menang PRN dan masih lagi menjadi Menteri Besar Selangor sehingga kini. Ini menunjukkan reputasi politik beliau dalam kalangan ahli PKR dan PH-BN masih sama seperti sebelum ucapan saya. Tidak ada yang terjejas,” tegasnya dalam jawapan bertulisnya.

Amirudin sebelum itu menyaman Muhammad Sanusi susulan ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN tersebut yang didakwa menfitnahnya ketika Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah pada Ogos lepas.- MalaysiaGazette