Sekumpulan PATI dan dadah yang diseludup menggunakan bot ke Indonesia ke Indonesia berjaya dipintas dan ditahan Maritim Selangor semalam.

KUALA LUMPUR – Ingatkan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) sahaja – rupa-rupanya turut membawa sekali dadah bersama mereka.

Penguatkuasa Maritim membongkar kegiatan penyeludupan dadah berikutan penangkapan ke atas 14 PATI di kedudukan 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Kuala Langat di sini semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, pihaknya telah menerima maklumat kira-kira 10.10 malam daripada Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Klang yang telah mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di Perairan Tanjung Tongkah.

Bertindak atas maklumat itu, sebuah bot ronda maritim telah diatur gerak ke perairan bagi memintas bot tersebut.

“Bot haram itu cuba meloloskan diri sebelum dikejar oleh bot pemintas maritim hampir 20 minit.

Dadah mampat jenis syabu yang ditemui dalam beg yang dirampas dari bot yang menyeludup pati ke indonesia semalam oleh maritim selangor.

“Semasa dikejar, beberapa orang disyaki warga asing telah bertindak terjun ke laut dan cuba melarikan diri ke hutan paya bakau namun gagal apabila bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Sharenliza, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditahan itu berjaya membawa kepada penahanan 14 PATI termasuk sembilan wanita.

Semakan lanjut juga mendapati kesemua PATI berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua PATI yang ditahan Maritim terdiri daripada 12 warga Indonesia dan tiga lelaki Pakistan berusia lingkungan 27 hingga 50 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bot juga telah menemui dua beg yang mencurigakan sebelum menjumpai lapan bungkusan mampat serbuk kristal putih disyaki dadah jenis syabu seberat sembilan kilogram dianggar bernilai RM297,000 dan dirampas untuk tindakan lanjut.

“Hasil soal siasat ke atas PATI terbabit mendapati mereka mendakwa telah menjelaskan bayaran RM1,700 untuk meninggalkan Malaysia menggunakan laluan tikus menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia,” ujarnya.

Maritim masih meneruskan siasatan terperinci ke atas kesemua tangkapan di bawah Akta Imigresen 1953/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan rampasan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahann. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast