Mangsa serangan Israel di bawa ke hospital.-Foto FB Palestine Red Crescent Society

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan arahan regim Israel agar pesakit di hospital-hospital di utara Gaza dipindahkan ke selatan merupakan hukuman mati.

Agensi kesihatan dunia itu mengutuk sekeras-kerasnya perintah berulang Israel supaya 22 hospital yang merawat lebih 2000 pesakit di utara Gaza dipindahkan dengan segera.

WHO menegaskan, pemindahan secara paksa pesakit dan pekerja kesihatan akan memburukkan lagi bencana kemanusiaan dan kesihatan awam di Palestine.

Menurut WHO, kehidupan ramai pesakit yang kritikal dan rapuh bergantung kepada keseimbangan rawatan.

Jika mereka terpaksa berpindah dan terputus daripada rawatan perubatan boleh membahayakan nyawa pesakit semasa dipindahkan.

“Kemudahan kesihatan di utara Gaza terus menerima kemasukan pesakit yang cedera dan sedang bergelut untuk beroperasi melebihi kapasiti maksimum.

“Sesetengah pesakit sedang dirawat di koridor dan di luar di jalan-jalan sekitar kerana kekurangan katil hospital.

“Memaksa lebih 2000 pesakit berpindah ke selatan Gaza, di mana kemudahan kesihatan sudah beroperasi pada kapasiti maksimum dan tidak dapat menyerap peningkatan mendadak dalam bilangan pesakit, boleh sama dengan hukuman mati,” katanya dalam kenyataan.

WHO menyeru agar Israel segera membatalkan perintah pemindahan dan merayu perlindungan kemudahan kesihatan, pekerja kesihatan, pesakit dan orang awam.

Menurutnya, pengarah hospital dan pekerja kesihatan kini menghadapi pilihan yang menyakitkan sama ada meninggalkan pesakit yang kritikal di tengah-tengah kempen pengeboman Israel atau merisikokan nyawa mereka untuk merawat pesakit.

WHO menegaskan, kebanyakan petugas kesihatan telah memilih untuk kekal merawat pesakit dan menghormati sumpah mereka sebagai profesional kesihatan untuk “tidak membahayakan nyawa pesakit” dengan mengambil risiko memindahkan mereka.

Pekerja kesihatan tegas agensi itu tidak sepatutnya diminta membuat pilihan yang mustahil.

“Selain itu, puluhan ribu orang yang kehilangan tempat tinggal di utara Gaza mencari perlindungan di kawasan lapang di dalam atau sekitar hospital, menganggap ia sebagai tempat perlindungan daripada keganasan serta kemungkinan serangan. Nyawa mereka juga terancam apabila kemudahan kesihatan dibom.

“Terdapat laporan yang disahkan mengenai kematian pekerja penjagaan kesihatan dan kemusnahan kemudahan kesihatan, yang menafikan hak asasi manusia untuk penjagaan kesihatan yang menyelamatkan nyawa orang awam dan dilarang di bawah Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa,” katanya.

Regim zionist sebelum ini menggugurkan beribu risalah dari udara meminta penduduk di utara Gaza segera berpindah ke kawasan selatan.

Selain itu media antarabangsa juga melaporkan Israel telah menempatkan kenderaan tentera termasuk kereta kebal di sempadan Gaza.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.