Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR –  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan venue perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium terbabit.

“Keputusan terbabit turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain termasuk dari aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terlibat selain tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya.

“Biar pun keadaan padang baharu Stadium Nasional tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama, FAM yakin dan percaya bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput tersebut menjelang Selasa ini,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Noor Azman menambah, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah PSM yang juga Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John; Pengerusi LOC Pestabola Merdeka 2023 yang juga Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon melakukan pemeriksaan bagi melihat sendiri keadaan terkini padang Stadium Nasional.

Selepas pemeriksaan itu, kata beliau, mesyuarat yang disertai pihak-pihak terbabit bersetuju untuk final Pestabola Merdeka 2023 tetap dimainkan di Stadium Nasional berdasarkan perkembangan positif yang dapat dilihat pada kerja-kerja baik pulih padang itu.

“FAM cukup berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta PSM yang mana pihak mereka sudah berusaha keras dan sedaya upaya dalam menjayakan projek penukaran rumput baharu di Stadium Nasional ini dan memastikan ia dapat digunakan pada Pestabola Merdeka 2023 ini.

“Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas kesudian baginda menaja pemasangan rumput baharu jenis Zeon Zoysia ini,” kata Noor Azman.

Sebelum ini, kualiti padang di Stadium Nasional yang baru selesai dinaik taraf mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak susulan rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi sulung Pestabola Merdeka 2023 kelmarin.

Aksi membabitkan pertembungan Malaysia dan India itu adalah perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Nasional selepas ia ditutup bagi kerja naik taraf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast