Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diagihkan bermula Januari 2024 melalui sekolah dan diberikan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, Belanjawan 2024 telah memperuntukkan RM788.13 juta khusus untuk tujuan BAP.

Menurutnya, bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar akan memberi manfaat kepada seramai 5,254,200 pelajar.

“KPM percaya BAP dapat membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk laman web khas Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang disediakan oleh Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai Belanjawan 2024,” katanya.

KPM mengulas kebimbangan sesetengah pihak mengenai ketiadaan BAP dalam pengumuman Belanjawan 2024 seperti yang dilaporkan oleh media.-MalaysiaGazatte