Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM393.8 bilion adalah belanjawan tertinggi pernah dibentangkan oleh kerajaan pada Jumaat lalu.

Pelbagai agenda pembangunan negara dan rakyat telah dirangka dalam usaha memperkasakan ekonomi semua lapisan masyarakat.

Namun rata-rata orang ramai yang ditemui MalaysiaGazette berpandangan beberapa aspek yang perlu dilihat semula kerajaan terutama membabitkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Rahim Suparlan

Penghantar makanan, Rahim Suparlan, 42, berkata, dia menyambut baik cadangan kerajaan untuk kenaikan cukai itu tetapi pelaksanan tersebut perlulah dilakukan berdasarkan ekonomi semasa.

“Bagi saya agak terlalu tinggi (lapan peratus) dengan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu sebab sekarang ini rakyat tidak banyak membeli. Bukan tidak bagus untuk laksanakannya tapi bukan masa sekarang ditambah kadar mata wang asing kita pun jatuh hampir cecah RM5.

“Saya sebagai rider, saya tahu perbelanjaan mereka kalau banyak order maksudnta rakyat ada duit membeli. Sekarang sejak dua bulan ini memang order makan online sudah kurang. Di situ kita nampak rakyat memang kekurangan duit belanja ditambah dengan faktor ekonomi dan barang pun mahal,” katanya.

Bagaimanapun, Rahim menyambut baik dengan pengumuman kerajaan berhubung kenaikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) isi rumah daripada RM300 kepada RM500 pada tahun depan.

Mohd Nizamuddin Mukhtar, pekerja swasta

Pandangan sama turut disuarakan pekerja swasta, Mohd Nizamuddin Mukhtar, 37, yang menyatakan kenaikan cukai itu akan memberi kesan jangka masa panjang terutama yang tidak berkemampuan.

Katanya, cukai enam peratus ketika ini pun sudah banyak memberi kesan pada kehidupan harian rakyat apatah lagi dengan peningkatan kadar SST itu.

“Golongan berpendapatan rendah ini memang akan tertindaslah pada saya sebab ini keadaan rakyat semua tengah struggle untuk hidup, ditambah pengumuman Belanjawan 2024 mengenai kenaikan cukai kepada lapan peratus itu dan subsidi minyak diesel juga ditarik balik.

“Daripada situ bermula tahun depan memang kita lagi susah untuk nak hidup sedangkan keadaan sekarang pun terkesan dengan kenaikan semua barang ditambah pula dengan petrol dan subsidi akan dimansuhkan, kita kena buat dua atau tiga kerja untuk hidup.

“Walaupun bantuan disalurkan bagi saya boleh tahan seminggu sahaja itu pun kita makan nasi dengan telur kalau bantuan SARA bernilai RM100. Kalau boleh kerajaan bagilah lebih sikit dan kaji semula tentang cukai ini, turun padang dan tengok keadaan orang bawah ini,” jelasnya.

Nasuha Rusmadi

Bagi seorang lagi pekerja swasta, Nasuha Rusmadi, 24, pula mencadangkan kerajaan agar segera mencari mekanisme bersesuaian untuk mengelak peningkatan cukai tersebut walaupun ia sebenarnya memberi nilai tambah pada kerajaan.

“Saya rasa semua pihak tidak setuju dengan kenaikan cukai sehingga lapan peratus sebab agak tinggi juga sedangkan enam peratus ini pun sudah tinggi dan peningkatan itu akan buat semua barang akan jadi lagi mahal.

“Saya berharap kerajaan boleh buat sesuatu untuk ekonomi kita yang sekarang ini dilihat semakin teruk ditambah kejatuhan mata wang ringgit dan harga minyak kita. Jangan bebankan rakyat,” ujarnya.

Faizuddin Nordin

Lain pula bagi Faizuddin Nordin, 29,  yang menyambut baik pengumuman belanjawan dengan kenaikan cukai SST itu.

“Saya akui memang akan memberi kesan (perbelanjaan) kita, tetapi ia sebenarnya bergantung pada diri kita sendiri macam mana untuk susun kewangan atau perbelanjaan kita.

“Bagi saya kenaikan cukai itu perkara yang bagus buat kerajaan cuma seperti saya kata bagaimana kita rancangan pengurusan kewangan itu.

“Untuk bantuan STR itu juga saya amat setuju sebab bantuan itu akan memberi banyak manfaat kepada golongan muda seperti saya. Jadi itu satu inisiatif baik oleh kerajaan,” jelas kakitangan swasta itu.

Mohd Ridzauan Sarif Mohd Bawa

Sementara itu, Mohd Ridzauan Sarif Mohd Bawa yang sudah berniaga lebih 10 tahun pula berharap kerajaan dapat menurunkan harga barangan keperluan asas untuk membantu perniagaannya.

Walaupun Belanjawan 2024 memperuntukkan bantuan kepada golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) namun mereka terkesan dengan harga barangan keperluan asas ketika ini.

“Harga beras sekarang sudah mahal, sebelum ini kita pakai beras harga RM26 macam itu, skrg kita kena pakai RM44, ditambah pula harga rempah pun harga sudah naik, ayam pun sudah naik.

“Saya meniaga sampai sekarang tidak naikkan harga sebab mereka semua bekerja tiada kenaikan gaji. Kita bimbang akan beri kesan pada perniagaan, sekarang ini pun berniaga pun agak teruk sedikit.

“Jadi saya berniaga ayam rempah ini tidak boleh naikkan harga sebab akan beri kesan, memang teruk perniagaan sekarang walaupun ada sedikit keuntungan.

“Saya cuma harap kerajaan boleh kembalikan harga beras seperti dulu, bantuan RM600 atau RM800 seperti diumumkan itu tidak beri kesan sebab ia secara one-off, kita cuma mahu harga keperluan asas ini turun sebabb kita berbelanja setiap hari,” katanya.

Pada Jumaat lalu, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus ketimbang enam peratus bermula tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kenaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke. – MalaysiaGazette