Oleh: Muhammad Afifi Abdul Hamid
PERGESERAN yang berlaku antara penduduk Palestin dan Israel merupakan salah satu gambaran sebenar bagi intermittently conflic yang masih berterusan sehingga kini. Sejak dahulu, konflik yang berlaku antara kedua-dua penduduk negara ini mengalami fasa turun naiknya yang tersendiri, ada fasa diserang-menyerang, ada ketika fasa tenang-bertenang, ada ketika bersetuju meletakkan senjata dan sebagainya berdekad-dekad sehingga ke hari ini. Kalau dahulu-dahulu medan tempurnya hanya tertumpu di kawasan kependudukan Palestin, namun pada bulan Oktober tahun 2023 kali ini, keluasannya telah menyebar sehingga ke kawasan kependudukan haram apabila anggota-anggota kumpulan Hamas melancarkan siri serangan mengejut melalui gerakan gerila, serangan dron-dron komersial serta pelancaran ribuan roket ke arah Israel.
Beberapa negara Arab-Islam seperti Qatar, Arab Saudi, Iran dan lain-lain menzahirkan kekesalan serta meletakkan kesalahan ke atas ‘keceluparan’ tindakan berterusan Israel yang menekan, memeras, menghalau, mencederakan bahkan membunuh penduduk Palestin sekian lama sehingga menyebabkan berlakunya serangan mengejut berskala besar oleh kumpulan Hamas pada kali ini. Sebahagian pihak yang lain pula mengambil tindakan mengecam serangan yang dilakukan oleh kumpulan Hamas terhadap kependudukan Israel.
Kalau sebelum ini Amerika Syarikat mengkritik regim Basyar Asad di Syria yang melakukan Pengeboman Karpet atau Carpet Bombing menggunakan bom Fosforus Putih terhadap orang awam, mengutuk serangan udara oleh pakatan koalisi ketenteraan Negara-Negara Teluk yang diketuai oleh Arab Saudi dalam Perang Saudara tahun 2015 di Republik Yaman, tetapi kali ini mereka seakan-akan merestui pengeboman udara dan penggunaan bom Fosforus Putih yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin.
Bukankan Joe Biden sejak kempen presiden tahun 2019 sebelum ini berazam untuk menaikkan taraf pemeliharaan serta penjagaan hak asasi kemanusiaan (termasuk nyawa) sejagat sehingga mengkritik tindak-tindak songsang serta keganasan yang dilakukan pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi melalui arahan Muhammad bin Salman di Republik Yaman? Bahkan sehingga United Nations menyatakan konflik di Republik
Yaman sebagai “the worst humanitarian crisis”, disebabkan tangan-tangan penguasa Arab diketuai Arab Saudi?
Terlupakah Biden yang sebelum ini didesak pelbagai aktivis kemanusiaan untuk mempertimbangkan semula hubungan negara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi, berikutan kurangnya pembelaan hak asasi manusia, kurangnya keterbukaan besuara dalam kalangan rakyat sehingga berlakunya peristiwa pembunuhan wartawan Kashoggi yang dikatakan didalangi oleh Arab Saudi melalui Muhammad bin Salman? Muhammad
bin Salman juga pernah dikritik oleh Amerika Syarikat kerana pemerintahannya yang dikatakan bertentangan dengan nilai-nilai norma yang ingin dibawa Amerika Syarikat?
Dan tiba-tiba di Palestin, sebagaimana yang dilaporkan media, kenapa Amerika Syarikat mengambil pendirian untuk menghantar Kapal Pengangkut (Carrier) dan jet-jet pejuang demi memelihara Israel yang terang-terang menyimpang dari nilai kemanusian yang
ingin dibawa dengan menyerang orang awam Palestin, melakukan bom karpet dan menggunakan bom Fosforus Putih yang mengakibatkan kecederaan serta kematian dalam kalangan penduduk awam? Di manakah nilai-nilai kemanusiaan yang ingin diperjuangkan Amerika Syarikat dalam permasalahan ini?
Menjawab segala persoalan di atas, dalam Pengajian Antarabangsa atau Pengajian Polisi Luar sendiri mengangkat tinggi National Interests sebagai tema utama yang mencorakkan dasar luar sesebuah negara. Sejak dahulu, segala bantuan yang diberikan Amerika Syarikat pada Israel adalah kerana ianya melibatkan pemeliharaan hegemoni negara haram tersebut selaku proksi di Timur Tengah. Selaku sekutu, Amerika Syarikat tidak
akan benarkan rakannya iaitu Israel diserang, diserang atau dijatuhkan oleh pihak lain. Faktor ini juga yang melatari konflik serta perperangan yang berlaku di Syria sejak merebaknya gelombang Kebangkitan Arab tahun 2011. Rusia mengambil pendirian politik dan ketenteraan mempertahankan rejim Basyar Asad kerana beliau merupakan proksi Rusia di Timur Tengah.
Berbalik dalam konflik Palestin-Israel, Israel selaku proksi serta sekutu kuan akan sedaya upaya dipertahankan oleh Amerika Syarikat di Timur Tengah. Dan kerana itu, Israel menjadi penerima dana terbesar dari Amerika Syarikat dalam soal ekonomi, pembangunan khususnya ketenteraan di Timur Tengah melalui National Endowment for Democracy (NED). Tema perjuangan kemanusiaan hanya akan didendangkan seandainya
mangsa adalah dari kalangan sekutu Amerika Syarikat.
Penulis dari Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya