Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis  berjaya menggempur empat pusat hiburan yang dipercayai diuruskan oleh warga asing hasil serbuan di Kompleks Wilayah di Jalan Dang Wangi awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil serbuan pada pukul 2.45 pagi itu, seramai 113 orang pelanggan terdiri daripada 71 lelaki yang mana 44 adalah Bangladesh, Pakistan (20), India (lima) dan masing-masing satu warga Nepal dan British telah diperiksa.

Turut diperiksa 32 wanita warga asing  terdiri warga Bangladesh (21), lima warga Nepal dan masing-masing tiga warga Pakistan dan India.

Daripada jumlah 113 orang itu, seramai 38 lelaki warga asing termasuk seorang pengurus dan pekerjanya berjaya diberkas untuk siasatan lanjut.

“Siasatan polis ke atas premis itu mendapati pengurus dan penolong pengurus serta pekerja di keempat-empat pusat hiburan itu merupakan warga Bangladesh manakala pelanggan mereka juga majoritinya merupakan warga negara yang sama.

“Menerusi siasatan awal kita dapati mereka sudah menjadi pengurus, jadi penolong pengurus, jadi GRO (pelayan pelanggan) dan jadi pelanggan tempat mereka sendiri seolah-olah pusat hiburan diuruskan warga asing.

“Malah perkara ini juga ada kaitan dengan kehadiran (kemasukan) warga asing di negara kita,” katanya dalam sidang media di Menara 1, Bukit Aman di sini hari ini.

Tambah Rusdi, polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah menerusi serbuan dan tangkapan warga Bangladesh itu memberi mesej jelas pihaknya komited membendung pembabitan warganegara asing dalam kegiatan pusat hiburan di negara ini.

“Tindakan ini menyusul kerana polis menerusi siasatan mendapati ramai warga asing menjadi pengurus, pekerja dan pelanggan di pusat hiburan terutamanya dalam serbuan kali ini.

“Pada masa yang sama, operasi ini juga tertumpu kepada pelaksanaan National Guideline Of Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 untuk mengesan sebarang aktiviti atau unsur warga asing menjadi mangsa pemerdagangan orang iaitu buruh paksa.

“Siasatan masih diteruskan oleh pasukan polis sekiranya wujud sebarang unsur pemerdagangan orang terutama membabitkan GRO yang diperiksa dalam operasi pusat hiburan dikuasai warga Bangladesh itu,” ujarnya.

Buat masa ini, tegas Rusdi, pasukannya mendapati kesemua tangkapan itu memiliki dokumen perjalanan yang sah tetapi semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen diteruskan ke atas semua dokumen perjalanan mereka.

Semakan dengan Imigresen ini akan mengambil sedikit masa sementara kesemua mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 12 (1)(F) Akta Pasport. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast