KUALA LUMPUR – Keadaan di Gaza ketika ini sangat genting selepas Israel mengenakan kepungan total terhadap wilayah Palestin itu.
Pegawai Perhubungan Asia Tenggara, Timur dan Pasifik Doctors Without Borders (MSF) Balvin Kaur berkata, penduduk kini berhadapan dengan kesukaran mendapatkan rawatan dan perubatan.
“Hospital sesak. Tiada lagi ubat penahan sakit. Kakitangan kami memberitahu ada pesakit yang cedera menjerit kesakitan, ada yang tidak dapat pergi ke hospital dan berada dalam ketakutan apabila mendapati diri mereka boleh dibom pada bila-bila masa.
“Ada yang memberitahu kami tentang kemustahilan untuk keluar walaupun satu jam untuk mendapatkan bekalan perubatan. Di selatan Gaza, ramai dipanggil oleh pihak berkuasa Israel (untuk disiasat) keadaannya amat sukar,” kata Balvin dalam kenyataan.
Tambah beliau, situasi di Gaza dalam keadaan huru-hara selepas Israel mengarahkan orang ramai untuk melarikan diri atau menghadapi penghapusan.
Penduduk awam dalam keadaan tertekan kerana tidak ada mana-mana tempat di Gaza yang selamat untuk melarikan diri.
“Di antara orang yang tidak dapat melarikan diri, yang tidak tahu ke mana harus pergi adalah rakan sekerja MSF yang telah bersembunyi dengan keluarga mereka di lapangan dan meneruskan tugasan semampu mungkin untuk merawat mangsa yang cedera yang berpusu-pusu ke hospital,” katanya.
Ketika ini, menurut beliau, orang awam tertumpu di kem sementara yang tidak terurus dengan kesukaran terhadap akses kepada bekalan air dan makanan yang berada dalam ambang kritikal.
“Menghadapi situasi kritikal ini, kami meminta pihak berkuasa Israel untuk mengatur dan mengekalkan kawasan yang benar-benar selamat di mana orang ramai boleh berharap untuk terhindar daripada bom.
“Kami juga meminta agar laluan pemindahan diatur secepat mungkin, supaya orang yang mencari perlindungan, yang ingin melarikan diri boleh berbuat demikian.
“Kami juga menuntut agar akses kepada perkhidmatan penting, termasuk akses kepada air minuman, dipulihkan segera,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau menggesa supaya regim Israel menunjukkan perasaan kemanusiaan terhadap orang awam yang benar-benar terkesan dengan tindakan ganas yang dilakukan.-MalaysiaGazette