GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang menggempur beberapa pasar malam di daerah Barat Daya dalam usaha membanteras peniaga warga asing di kawasan berkenaan, kelmarin.
Operasi bersepadu itu dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
MBPP dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 123 penjaja pasar malam diperiksa dalam operasi tersebut sebelum menyita empat gerai yang dikendalikan warga asing.
Jelasnya, MBPP turut merampas barangan di empat gerai warga asing tersebut yang menjual buah-buahan, bantal dan karpet.
“Selain itu, sebanyak 12 kompaun dikeluarkan kepada pekerja gerai menjual makanan yang tidak mengambil suntikan anti-tifoid.
“Pegawai Pelesenan MBPP juga memberi teguran dan nasihat kepada penjaja yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman supaya mengutamakan kebersihan persekitaran serta peralatan bagi memastikan kualiti penyediaan jualan mereka terjamin,” katanya dalam laman rasmi Facebook MBPP hari ini.
Dalam operasi sama, Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan (TIEM) MBPP memeriksa lima premis perniagaan dan mengeluarkan satu Notis Tentang Kesalahan kepada premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Manakala satu Notis Tentang Kesalahan dan tiga kompaun dikeluarkan bagi kesalahan meletak peralatan serta barangan jualan di siar kaki yang mendatangkan halangan,” katanya.
“Selain itu, JIM turut menahan tujuh warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah manakala KPDN pula, memeriksa gerai serta memberi amaran kepada peniaga dalam aspek tanda harga pada barangan jualan.
“Operasi bersepadu seperti ini akan dipergiatkan dari semasa ke semasa dengan pembabitan lebih banyak agensi penguatkuasaan,” katanya. – MalaysiaGazette