KUALA LUMPUR – Mrs. Malaysia Globe (MMG) yang merupakan ratu cantik bagi wanita berkahwin kini muncul kembali di khalayak dengan pendekatan lebih segar dan mampan.
Dikendalikan oleh Pengarah Kebangsaannya yang baharu, Hyacinth Ho, MMG kini bukan sahaja memperagakan kecantikan, sebaliknya tampil dengan imej memperjuangkan isu-isu sosial, memberi inspirasi untuk perubahan dan melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan positif kepada komuniti.
Menurut Hyacinth, dua punca utama yang mendorong mereka melakukan perkara itu adalah usaha untuk melihat advokasi menentang keganasan rumah tangga dan kesedaran mengenai disleksia tercapai.
“Kami percaya dalam kuasa menyumbang balik, dua punca utama yang mendorong kami ialah usaha advokasi menentang keganasan rumah tangga dan kesedaran mengenai disleksia.
“Matlamat kami adalah untuk menghentikan penderaan rumah tangga daripada berlaku melalui penyebaran kesedaran mengenainya, menolong mangsa dan menyediakan bantuan,” katanya menerusi kenyataan.
Hyacinth berkata, dengan inisiatif yang dilakukan sepenuh hati, peserta-peserta akan memulakan projek istimewa itu bersama kanak-kanak disleksia dengan membuat kemeja T unik memaparkan perkataan yang biasanya sukar dieja atau disebut oleh kanak-kanak disleksia.
Katanya, kemeja-kemeja T itu akan meraih perhatian apabila diperagakan dengan anggun oleh finalis dalam pusingan akhir.
Ujarnya, jualan lelong kemeja-T yang bermakna itu merupakan kemuncak usaha dan dana yang terkumpul akan digunakan untuk menyokong usaha dua pusat disleksia.
“Peserta juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam sukan selam duyung (mermaiding) sebagai sebahagian daripada aktiviti pertandingan ratu cantik dalam mempromosikan kesihatan dan kecergasan.
“Selam duyung semakin popular sebagai aktiviti yang digunakan untuk mempromosikan pelancongan serta meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pemuliharaan laut,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Hyacinth, kelestarian juga menjadi tumpuan menerusi projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
dalam meneroka pertanian beretika.
Katanya, peserta turut memperoleh pengalaman praktikal apabila dapat merasai sendiri untuk memetik buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai penekanan terhadap kepentingan amalan lestari dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, sebuah program latihan intensif turut diatur bagi memastikan peserta-peserta berada pada tahap terbaik di mana mereka dijadual mengikutinya dari 1 hingga 4 November di sebuah hotel di Shah Alam.
Kemuncak pertandingan dijangka menjadi peristiwa bersejarah dengan penampilan supermodel pertama Malaysia Amber Chia yang merupakan ketua juri, Mrs. USA Global 2022 Jessica Jordann, guru fesyen ikonik, Gillian Hung atau dikenali sebagai Mama G yang banyak menyumbang kepada industri fesyen Malaysia dan Lucia Wong yang dinobatkan sebagai Mrs. Classique Globe 2023.
“Dalam usaha untuk mencipta kelainan yang bermakna, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada ‘Volunteer with Love’, sebuah organisasi yang setia mencurahkan kasih sayang, sokongan dan bantuan kepada individu dan komuniti sejak 2016,” tambahnya. – MalaysiaGazette