KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menolak resolusi gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza yang dicadangan Rusia, hari ini.
Hanya lima negara termasuk Rusia menyokong resolusi berkenaan sementara empat negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jepun menolak manakala enam yang lain berkecuali.
Resolusi memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh lima anggota tetap iaitu Amerika Syarikat, Russia, China, Perancis dan United Kingdom untuk lulus.
Rusia mencadangkan teks satu halaman yang turut menggesa pembebasan tebusan, akses bantuan kemanusiaan, dan pemindahan selamat orang awam yang memerlukan.
Duta Besar Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, walaupun gagal, resolusi itu telah mendorong majlis itu untuk bertindak.
“Ia telah menyumbang kepada pelancaran perbincangan substantif di Majlis Keselamatan mengenai topik ini. Tanpa dorongan kami, semuanya mungkin terhad kepada perbincangan kosong,” katanya.
Sementara itu Duta Amerika Syarikat ke PBB, Linda Thomas-Greenfield bersetuju bahawa majlis tersebut harus mengambil tindakan, tetapi perlu memperbaiki dan bekerjasama secara intensif dengan semua ahli untuk berbuat demikian.
“Dengan gagal mengutuk Hamas, Russia memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas yang menganiaya orang awam yang tidak bersalah. Ia adalah keterlaluan. Ia hipokrit dan ia tidak boleh dipertahankan,” kata Linda.
Duta Palestin Riyad Mansour berkata, majlis itu mempunyai kewajipan moral untuk bertindak dalam usaha menghalang pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza yang menurut beliau meragut 12 nyawa setiap jam.
“Jangan hantar isyarat bahawa nyawa rakyat Palestin tidak penting. Apa yang berlaku di Gaza bukanlah operasi ketenteraan. Ia adalah serangan besar-besaran terhadap rakyat Palestine. Ia adalah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak bersalah,” katanya.
Sementara wakil Israel, Gerld Erdan berkata Majlis Keselamatan, yang tidak menerima pakai resolusi mengenai situasi di Israel dan wilayah Palestin sejak 2016, berdiri di “salah satu persimpangan paling penting” sejak penubuhannya selepas Perang Dunia II.-Agensi