KUALA LUMPUR – Nama Dominic Tan paling menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air di sebalik kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Tajikistan di final Pestabola Merdeka 2023 malam tadi.
Aksi yang ditampilkan oleh pemain pertahanan Sabah itu mengundang pelbagai kecaman daripada peminat apabila didakwa menjadi punca Tajikistan berjaya menjaringkan dua gol.
Malah laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunjukkan Dominic paling banyak menerima komen daripada peminat yang turut menyamakannya dengan pemain pertahanan Manchester United, Harry Maguire.
Peminat berpendapat, isu komunikasi antara Dominic dengan pemain lain dikatakan antara punca utama barisan pertahanan mudah melepaskan dua gol.
Ketika gol pertama Tajikistan, Dion dikatakan melakukan kesilapan asas bola sepak iaitu, tidak mengikuti wisel dan dia mengangkat tangan meminta ofsaid dan itu membuatkan lariannya lebih lambat.
Begitu juga dengan gol kedua yang melibatkan masalah komunikasi antara Dominic dengan penjaga gol, Syihan Hazmi. Kegagalan Dominic melakukan tindakan awal mengundang kepada bahaya.
Disebabkan terlalu kecewa dengan aksi Dominic, segelintir warganet mencadangkan agar Kim Pan Gon memanggil pemain lain yang lebih layak seperti pemain pertahanan Terengganu, Shahrul Nizam.
Selepas ini Malaysia akan memulakan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada November depan. – MalaysiaGazette