Hamdan Abdul Majeed

KUALA LUMPUR – Think City Sdn Bhd (Think City) akan menggunakan sepenuhnya peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi mengindah dan memulihara warisan di ibu negara.

Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, dengan peruntukan tersebut pihaknya akan terus memacu pembangunan Kuala Lumpur sebagai sebuah daerah kreatif dan kebudayaan.

Tumpuan khas projek-projek utama menurut beliau di kawasan Masjid Jamek dan kawasan sekitarnya.

“Kami akan mengeratkan kerjasama dengan komuniti setempat bagi bersama-sama memulihara, menginovasi serta mengaktifkan kawasan pusat bandar bersejarah.

“Peruntukan ini bukan sahaja akan mentransformasi landskap bandar, malah juga akan menjana peluang pekerjaan kepada penduduknya,” katanya dalam kenyataan.

Selain pembangunan fizikal projek yang dilaksanakan juga dapat mengatasi cabaran kemunduran komuniti bandar, meningkatkan kualiti hidup dan memperbaharui struktur-struktur bersejarah.

Ia juga akan merangsang kemajuan sosial dan ekonomi yang lebih luas, terutamanya dalam industri peruncitan, kreatif dan pelancongan.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM20 juta kepada Think City.

Ia bagi mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandaraya kreatif bermula dari Taman Tasik Perdana hingga ke Chinatown.

Sementara itu Hamdan turut maklumkan mengenai peruntukan bagi pengurusan dan pemuliharaan Tasik Timah Tasoh di Perlis dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.

Katanya, pelaburan tersebut berpotensi untuk memajukan pemeliharaan dan pembangunan tapak-tapak warisan sebagai punca ekonomi berasaskan budaya utama.

“Tapak-tapak ini sejajar dengan Program Rangkaian Archaeopelancongan Wilayah Utara Think City dan kami teruja dapat mengusahakan dengan kerajaan negeri masing-masing, rakan-rakan usahama strategik, ahli-ahli akademik, NGO-NGO dan komuniti tempatan untuk memaksimumkan kesan positif inisiatif ini,” katanya.

“Belanjawan 2024 menyusuli serta mengkukuhkan komitmen yang dilakarkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, yakni mengangkat martabat ekonomi negara dan rakyat serta penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat,” katanya.

Think City ditubuhkan pada 2009 dan merupakan anak syarikat
milik penuh Khazanah Nasional Berhad.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast