KUALA LUMPUR – Israel harus menghentikan jenayah perang yang dilakukan terhadap Gaza dengan segera bagi mengelakkan reaksi daripada pelbagai negara yang menentang kekejamam berkenaan.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, isu berkenaan sepatutnya diselesaikan secara diplomatik bagi menghentikan kezaliman dan mengelakkan reaksi agresif antara negara yang menyokong Gaza seperti pandangan yang disuarakan.
Dalam masa yang sama, beliau menyuarakan bantahan terhadap negara-negara menyokong Israel terutama yang membantu membekalkan alat ketenteraan.
“Kita bimbang kalau negara barat terus sokong Israel dan membenarkan Israel bermaharajalela melakukan kezaliman yang tidak berperikemanusian tindakan jenayah perang, maka kita bimbang akan ada reaksi negara lain terhadap bukan hanya Israel negara yang menyokong sama ada Israel atau Palestin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Jelas beliau, serangan ke atas Gaza jelas mencabar sifat kemanusiaan seluruh dunia.
“Serangan ke atas Gaza ini sebenarnya mencabar kemanusiaan kita kita tidak mampu pejam mata dengan hal ini mereka perlulah dihadapkan ke undang-undang dunia di atas semua jenayah yang dilakukan,” katanya.
Beliau turut berharap rakyat Palestin kembali menerima bekalan makanan, elektrik dan air yang sepatutnya tidak disekat.
Sehubungan itu, Mukhriz berpendapat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan sekongkolnya Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden; Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen layak diheret ke mahkamah dunia kerana saling bersubahat melakukan jenayah perang besar-besaran terhadap Gaza.
Seiring dengan penentangan dan bantahan tindakan kejam Israel, Pejuang bakal mengadakan perarakan daripada Masjid Tabung Haji menuju ke Kedutaan AS pada Jumaat ini.
“Kami mengajak rakyat pelbagai latar belakang bersolidariti menyertai kita Jumaat ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette