KUALA LUMPUR – Pas melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat ekonomi di empat negeri bukan mahu memperlekehkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muhyiddin sememangnya bersama parti itu sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan sudah tentu pandangannya diterima.
“Ramai tanya kenapa tak lantik Tan Sri Muhyiddin? Saya tegaskan Tan Sri sebagai sebahagian daripada kita, Pengerusi PN sentiasa bersama memberi nasihat.
“Tun (Dr Mahathir) dari luar sedia pengalaman terima pandang baik dan jadikan pengalaman untuk pentadbiran negeri,” katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas 2023 di Shah Alam malam ini.
Dr Mahathir sebelum ini dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada empat negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis oleh Pas.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana membantu Pas menawan Perlis dalam PRU-15 lalu.
Selain itu, ucapan yang sama kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib yang membawa kejayaan Pas menawan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen berkenaan pada PRU-15.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menggesa supaya kerajaan menyediakan garis panduan mengenai isu 3R (religion, race and royal) bukan sekadar menyatakan larangan menyentuh topik berkenaan.
“Ramai antara kita disiasat kononnya sentuh 3R, saya lihat peraturan dibuat dari mulut pemimpin jadi undang-undang,” katanya.
Beliau berpandangan ada pihak mengambil kesempatan dan rakyat melihatnya tidak ada keadilan.
“Pas gesa satu peraturan mesti ada akta, mesti ada rang undang-undang, larangan mana batas-batas sempadannya,” ujarnya.
Beliau seterusnya mendedahkan ramai pimpinan luar negara bertemu dengannya menyatakan PN akan bakal menerajui negara dan Pas akan menjadi penerajunya.
Justeru beliau mahu ahli-ahli Dewan Pemuda Pas bersama-sama dalam usaha merealisasikannya.
Terdahulu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Fadhli Shaari dalam ucapannya menegaskan perlunya pimpinan muda parti ditarbiah supaya menjadi setia kepada parti seperti generasi terdahulu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak mahu pemuda parti terpesona dengan kilauan kuasa sehingga luntur semangat yang menjadi teras Pas. – MalaysiaGazette
mangsa Dan keluarga tragedi MEMALI sudah dilupakan?