Pengerusi Aid4Palestine, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bergambar kenangan bersama Dutanya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman selepas sidang media mengenai Gerakan Bantuan Kemanusiaan kepada Penduduk Gaza yang Sedang Diserang oleh Israel di Yayasan Permata Ummah,Cyberjaya. Foto MUHD NA’IM, 18 OKTOBER 2023.

CYBERJAYA – Tindakan Israel menyerang dan mengebom sebuah hospital yang dikendalikan penganut Kristian Anglican di Gaza membuktikan masalah Palestin bukan isu yang perlu diperjuangkan oleh masyarakat Islam sahaja.

Pengerusi Aid4Palestine, Dr. Muhammad Khalid Abdul Hadi berkata, kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin merupakan tanggungjawab semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

“Kita dikejutkan dengan tindakan yang tidak berperikemanusiaan apabila tentera Zionis melancarkan satu serangan ke atas hospital yang dimiliki oleh penganut beragama Kristian.

“Maknanya di sini memberi isyarat kepada kita Zionis Israel turut menyasarkan penganut agama lain. Sebab itu masalah Palestin adalah isu sejagat bukan isu umat Islam semata-mata.

“Ia mengenai kemanusiaan yang melibatkan semua kaum, semua bangsa dan semua penganut,” tegas beliau dalam sidang media.

Hampir 1,000 orang rakyat Palestian terkorban selepas tentera Israel mengebom Hospital al-Ahli Arabi yang juga dikenali sebagai Al-Ahli Arabi Baptist Hospital malam tadi.

Hospital itu menjadi tempat perlindungan rakyat Palestin yang terpaksa keluar daripada rumah masing-masing di utara Gaza selepas diarahkan oleh Israel untuk berbuat demikian.

Aid4Palestine ketika ini sedang menggerakkan kutipan sumbangan secara ‘roadshow’ daripada rakyat Malaysia bagi misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM13 juta.

Katanya, ketika pertama kali dilancarkan pada 2021 selepas Gaza diserang pihaknya berjaya memperoleh RM23 juta.

“Bentuk bantuan tidak jauh beza dengan sebelum ini iaitu keperluan harian seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan.

Manakala perancangan jangka panjang melibatkan pembinaan semula rumah-rumah, premis kerajaan dan lain-lain lagi,” katanya.

Pihaknya juga berhasrat untuk membeli lebih banyak set generator bagi membekalkan elektrik kepada rakyat Palestin selain pembelian van untuk dijadikan ambulan.

Aid4Palestine yang disertai Pas, Perikatan Nasional dan lebih 150 badan bukan kerajaan telah memberikan sumbangan awal sebanyak RM100,000 kepada wakil di Gaza.

Aktivis Palestin Nadir Al Nuri dan ulama Masjdil Aqsa Sheikh Ikrimah Sabri diumumkan sebagai duta muhibbah kempen Gerakan Bantuan Kemanusiaan Aid4Palestine kepada penduduk Gaza.

Serangan ganas Israel sejak 7 Oktober lalu menyaksikan lebih 3,000 nyawa terkorban, lebih 11,000 cedera dan lebih 18,000 rumah dan bangunan kerajaan dimusnahkan.

Penduduk Gaza juga ketika ini dalam situasi kritikal selepas Israel menghentikan bekalan air dan elektrik serta menyekat bantuan kemanusiaan daripada disalurkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast