KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya telah menahan seorang pegawai kerajaan sebuah kementerian kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM40,000 sebagai balasan untuk mempercepatkan proses tuntutan bayaran syarikat kontraktor.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan kira-kira pukul 2 petang tadi di pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2020 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik suspek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas keterangan suspek direkodkan.- MalaysiaGazette