Oleh: Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor & Mohamad Fikri Mohd Bakri
KONFLIK Palestin-Israel terkini yang dikenali sebagai Taufan al-Aqsa telah berlaku lebih dari satu minggu sejak Sabtu, 7 Oktober 2023. Jumlah korban yang dicatatkan dalam kalangan rakyat Palestin kini sudah mencecah hampir 2,400 orang manakala yang tercedera pula lebih 10,000 orang. Angka yang terkorban ini merupakan suatu angka yang jauh lebih besar dalam tempoh 7-8 hari jika dibandingkan dengan Perang Al-Asfim Maakul pada 2014 yang berlarutan dalam tempoh 51 hari.
Dunia menyaksikan kekejaman Zionis Israel yang terus menekan rakyat Palestin khususnya di Gaza melalui serangan pengeboman dan pencerobohan sama ada dari darat, udara mahu pun laut. Lebih parah lagi, negara-negara Barat yang begitu lantang menyuarakan hak asasi manusia, perdamaian dan pematuhan undang-undang antarabangsa seolah-olah membutakan mata dengan jenayah yang dilakukan oleh Zionis Israel ini. Malah ada di antara pemimpin dunia yang dengan jelas menyatakan pendirian untuk menyokong tindakan Israel atas dasar “mempertahankan diri”.
Jauh sekali nada sokongan yang dikeluarkan ini jika dilihat kepada realiti yang berlaku di mana setiap hari ada sahaja kematian dalam kalangan rakyat Palestin yang dibunuh oleh rejim Zionis. Tekanan, sekatan dan provokasi yang dihadapi setiap hari telah membuatkan rakyat Palestin bertindak bagi mempertahankan diri dan tanah air yang tercinta. Namun, dunia terus menafikan perjuangan mereka ini dan tidak kurang juga dengan menggelar mereka sebagai militan atau pengganas.
Dalam siri serangan yang sedang meledak ini, rejim Zionis Israel telah bertindak untuk memutuskan bekalan air bersih, elektrik dan sekatan jalanan. Ini telah menyebabkan umat Islam di Gaza terpaksa hidup bergelap dan terdedah kepada penyakit berbahaya. Malah Israel dengan angkuhnya mengeluarkan arahan agar rakyat Palestin di Gaza berpindah ke arah Selatan sebelum invasi besar-besaran dilakukan ke atas wilayah itu melalui jalan darat.
Hal ini sekali lagi menunjukkan kepada dunia betapa Israel sangat “kebal” dengan kecaman dan gesaan dunia. Mereka telah melanggar setiap resolusi damai yang pernah dimeterai termasuk dari Majlis Keselamatan PBB. Tindakan mengenakan sekatan penuh dan meneruskan pengeboman ke atas Gaza merupakan suatu jenayah yang jelas dan melanggar Konvensyen Geneva. Satu mesyuarat tergempar secara tertutup oleh Majlis Keselamatan PBB pada 9 Oktober lalu mengenai konflik Palestin-Israel juga gagal mengemukakan satu kenyataan bersama. Amerika bertindak sebagai kuasa veto menggesa 15 ahli majlis untuk mengutuk keras tindakan Hamas, walau bagaimanapun berdiam diri soal kekejaman Zionis Israel yang dengan sembrono membunuh rakyat Palestin.
Serangan ini dilihat sebagai siri peperangan yang paling dahsyat sejak 1973, dan mencetuskan Intifadah Kedua. Di sebalik konflik yang berlangsung, suatu perkara yang perlu dititik beratkan ialah situasi pasca perang kelak. Kerosakan, kemusnahan prasarana dan fasiliti asas, psikologi, peluang pendidikan dan kerjaya merupakan perkara yang perlu diberi tumpuan oleh dunia dalam menyelesaikan permasalahan di atas. Kehilangan orang tersayang, sama ada ibu bapa, anak mahu pun saudara mara disebabkan peperangan pasti memberikan dampak yang besar kepada mangsa-mangsa ini. Pembanggunan psikologi pasca perang merupakan proses yang memerlukan sistem sokongan ramai pihak, terutamanya di kalangan wanita dan kanak-kanak yang terpaksa berhadapan dengan situasi getir ini.
Bagi kerajaan Malaysia, inisiatif khas bagi membantu rakyat Palestin khususnya yang telah kehilangan ahli keluarga untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu diperkasakan. Ia boleh dilakukan dalam bentuk pemberian biasiswa atau bantuan yuran pengajian kepada mereka, sama ada di IPTA atau IPTS. Sudah pasti aspek pendidikan memainkan peranan besar dalammencorak masa depan mereka, tidak hanya untuk kerjaya tetapi juga untuk kelangsungan hidup di tanah air kelak.
Pendirian Malaysia untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin mesti diperkukuhkan melalui peranannya di dalam OIC mahu pun PBB. Ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini di Persidangan Antarabangsa PBB wajar diberikan pujian berhubung sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin. Kemusnahan fasiliti asas seperti hospital, masjid, sekolah, rumah kediaman dan jalan raya merupakan aspek yang perlu diberi perhatian oleh dunia agar kemudahan asas ini dapat dibangunkan segera.
Negara-negara Islam pula perlulah konsisten dalam menyatakan pendirian mereka berhubung perjuangan Palestin ini. Suatu hal yang perlu disedari oleh umat Islam adalah, isu Palestin yang berlangsung hampir satu abad ini bukanlah isu milik rakyat Palestin sahaja. Jauh daripada itu, ia adalah kedudukan Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tanah suci ketiga umat Islam yang berada dalam wilayah Palestin moden pada hari ini. Apabila kita membicarakan soal pembebasan Palestin, ia berkait rapat dengan pembebasan Baitulmuqaddis yang berada di bawah jajahan Zionis Israel sekarang. Pengiktirafan terhadap Israel oleh negara-negara Islam melalui hubungan normalisasi juga haruslah dihentikan.
Hubungan normalisasi ini walaupun dari satu aspek dilihat sebagai pendekatan terbaharu dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel, namun sampai ke hari ini, tiada sebarang keuntungan yang diperoleh daripada perjuangan rakyat Palestin. Sebaliknya, negara-negara yang sudah ada hubungan diplomatik ini sangat takut dalam mengambil tindakan mahu pun mengatakan kecaman ke atas kezaliman rejim Zionis.
Dari aspek yang lain, hubungan normalisasi ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan umat Islam sendiri dalam membebaskan sebuah tanah suci. Israel sebagai “negara penampan” bagi blok barat di Timur Tengah hanya ingin mengukuhkan
kedudukannya sahaja di tengah-tengah lautan negara-negara Islam. Ancaman keselamatan yang dihadapi oleh Israel dapat diselesaikan jika hubungan normalisasi dengan negara-negara Arab disekelilingnya itu dapat direalisasikan. Bertitik tolak dari itu, sebarang bentuk promosi dalam menjalinkan hubungan antara negara-negara Islam dengan Israel haruslah ditolak.
Mohd Roslan Mohd Nor merupakan Profesor dan Ketua, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Mohamad Fikri Mohd Bakri adalah Penyelidik Pasca
Sarjana, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.