KUALA LUMPUR – Seorang wartawan Israel bertindak memadam perkongsian di platform X bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IFD) mengebom Hospital al-Ahli al-Arabi kerana menjadi tempat anggota Hamas bersembunyi.
Hananya Naftali dalam kenyataannya meminta maaf kerana membuat hantaran tersebut dan menyalahkan agensi berita antarabangsa Reuters.
“Awal hari ini saya berkongsi laporan yang diterbitkan oleh Reuters mengenai pengeboman di hospital di Gaza yang secara palsu menyatakan Israel menyerang hospital itu.
“Saya tersilap berkongsi maklumat ini dan telah memadamkannya di mana saya telah merujuk Hamas secara rutin menggunakan hospital untuk menyimpan senjata dan menjalankan aktiviti pengganas. Saya memohon maaf atas kesilapan ini,” katanya.
Tambah beliau, oleh kerana IDF tidak mengebom hospital, beliau menganggap Israel menyasarkan salah satu pangkalan Hamas di Gaza.
Naftali berkata, sepatutnya tumpunan harus diberikan terhadap Hamas yang didakwa beliau menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
Sebelum itu tular tangkap layar kenyataan Naftali yang mendakwa pasukan pertahanan udara Israel berjaya memusnahkan pangkalan Hamas di Hospital Al-Ahli al-Arabi.
“Breaking: Pasukan Udara Israel menyerang pangkalan Hamas dalam hospital di Gaza. Banyak nyawa ‘pengganas terkorban’,” katanya.
Bagaimanapun pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menafikan negaranya terlibat dalam insiden yang meragut lebih 500 nyawa itu.
Mereka sebaliknya menyalahkan kumpulan ‘Jihadi Islam’ yang didakwa melakukan kesilapan selepas roket yang dilancar terkena Hospital Al-Ahli al-Arabi.
Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyatakan rasa sedih kerana melibatkan nyawa masyarakat awam.-MalaysiaGazette