Mayat mangsa yang bergelimpangan di hospital.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas Hospital Al Ahli Arab di utara Semenanjung Gaza.

Menurutnya, hospital berkenaan telah beroperasi untuk memberi rawatan kepada pesakit, yang turut menjadi kawasan petugas kesihatan menunaikan tanggungjawab selain menjadi tempat pelarian Palestin untuk berlindung.

WHO menegaskan arahan pengosongan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap Hospital Al Ahli Arab dan 19 pusat perubatan yang lain adalah mustahil untuk dilakukan.

“Hospital itu adalah satu daripada 20 di utara Semenanjung Gaza yang menghadapi arahan pemindahan daripada tentera Israel.

“Arahan pemindahan adalah mustahil untuk dilaksanakan memandangkan keadaan semasa yang tidak selamat, keadaan kritikal dengan ramai pesakit.

“Dan kekurangan ambulan, kakitangan, kapasiti katil dan tempat perlindungan alternatif bagi mereka yang dipindahkan,” tegasnya.

Serentak itu WHO menyeru perlindungan aktif serta-merta bagi orang awam dan petugas kesihatan dan mahu perintah pengosongan oleh Isreal ditarik balik.

Tegasnya, undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dipatuhi yang juga bermaksud penjagaan kesihatan mesti dilindungi secara aktif dan tidak seharusnya menjadi sasaran.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata serangan udara Israel ke atas pekarangan hospital yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal membunuh lebih 500 orang.

Serangan tersebut adalah paling buruk sejak Israel melakukan keganasan terhadap Palestin bermula 7 Oktober lalu.

Puluhan ribu keluarga berpusu-pusu ke hospital di Gaza mencari perlindungan daripada serangan tentera Israel kerana beranggapan akan terhindar daripada serangan pengeboman rejim Zionis itu.

Kira-kira 3,000 orang telah terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast