PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

BAGAN DATUK – Enam remaja lelaki disyaki merogol seorang pelajar tingkatan dua secara bergilir-gilir di dalam sebuah rumah di Hutan Melintang, dekat sini, pada 24 September lalu ditahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa berhubung kejadian yang melibatkan anak perempuannya kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Menurutnya, mangsa dan lima daripada suspek terbabit belajar di sekolah yang sama manakala seorang lagi suspek berusia 17 tahun sudah berhenti sekolah.

Katanya, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa dipercayai dijemput seorang rakan sekolah yang dikenali dan dibawa ke rumah tersebut.

“Semasa tiba di tempat kejadian, terdapat beberapa orang lelaki yang dikenali mangsa sedang berehat di rumah berkenaan.

“Mangsa kemudiannya telah diajak melakukan hubungan seks secara bergiir-gilir oleh lima remaja lelaki terbabit kecuali yang membawa mangsa ke rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tiga hari dan memandangkan mangsa masih di bawah umur, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu rogol berkumpulan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette