KUALA LUMPUR – Malaysia membawa isu berkepentingan negara dalam Pusingan Ke-6 Rundingan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang sedang berlangsung di ibu negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, sebagai tuan rumah Malaysia mempunyai kelebihan untuk membawa isu seperti bantuan teknikal dan kerjasama ekonomi, pendigitalan serta rantaian bekalan secara lebih agresif.
“Pada masa yang sama, ia akan memberi peluang kepada lebih ramai pegawai Malaysia menyertai rundingan antarabangsa untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman di dalam proses rundingan IPEF”.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga akan terus mengadakan sesi konsultasi bersama para pemegang taruh termasuk Kementeriankementerian serta agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan kepentingan Malaysia akan terus terjaga sepanjang proses rundingan IPEF,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Zaful berkata, penganjuran tersebut akan meningkatkan kredibiliti dan melambangkan komitmen serius Kerajaan Malaysia dalam memainkan peranan aktif di dalam rundingan IPEF.
Penganjuran itu juga akan memupuk jaringan kerjasama antara Malaysia dan pakar-pakar perunding dari negara-negara yang terlibat.
Pusingan Ke-6 Rundingan IPEF berlangsung daripada 15 hingga 24 Oktober 2023 yang disertai oleh 14 negara anggota IPEF.
IPEF merupakan suatu Rangka Kerja Ekonomi yang diterajui Amerika Syarikat (AS) dan ia sedang dirundingkan dengan Malaysia, Australia, Brunei, Fiji, Filipina, India, Indonesia, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Rangka Kerja Ekonomi IPEF terdiri daripada empat teras utama yang dipersetujui oleh Menteri-menteri IPEF pada 8 dan 9 September 2022 di Los Angeles, AS.
Teras terbabit adalah perdagangan (Teras 1), rantaian bekalan (Teras 2), ekonomi bersih (Teras 3) dan ekonomi adil (Teras 4).
Rundingan IPEF dijangka akan menghasilkan empat perjanjian berasingan bagi setiap teras tersebut.
“Pihak Amerika Syarikat juga telah memaklumkan bahawa hanya perjanjian Teras 1 sahaja yang akan bersifat mengikat dan tertakluk kepada prosedur penyelesaian pertikaian, manakala perjanjian Teras 2, 3 dan 4 adalah bersifat tidak mengikat,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, Rangka Ekonomi IPEF adalah penting bagi Malaysia berikutan pertumbuhan ekonomi negara banyak bergantung kepada prestasi perdagangan antarabangsa.
Kerjasama IPEF antara lain menitikberatkan kesalinghubungan rantaian bekalan antara negara-negara anggota dan ia adalah penting demi kelangsungan aktiviti ekonomi negara.
“Sebagai rekod, negara-negara anggota IPEF mewakili 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan 28 peratus perdagangan barangan dan perkhidmatan global.
“Penglibatan Malaysia dalam rangka ekonomi IPEF juga akan memberi gambaran bahawa Malaysia sedia menjalin kerjasama ekonomi dengan Amerika Syarikat dan juga negara-negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette