Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat serta Ketua deligasi dari negara Asian hadir ke Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang Asean Ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN di Hotel Shangrila, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan  beliau tidak menceroboh walau sejengkal kesucian dan bidang kuasa badan kehakiman.

Sebaliknya, perdana menteri itu sekali lagi menegaskan akan mempertahahkan kebebasan badan kehakiman dengan apa juga cara.

“Hari ini, dan sejak kebelakangan ini, kita mendengar rungutan yang membingungkan – tidak semestinya mencerminkan (suara) majoriti – bahawa cabang eksekutif organ-organ negara melakukan penipuan yang sama, mengganggu proses yang wajar dan menjadikan badan kehakiman sebagai senjata.

“Tiada sekelumit kebenaran pun dalam dakwaan keji ini, yang kini diulang-ulang di media sosial,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Persatuan Undang-Undang ASEAN ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN (ALA) 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon selaku Presiden ALA, ketua hakim, peguam negara serta pengamal undang-undang dari negara ASEAN.

Anwar berkata, kedaulatan undang-undang menjamin bahawa kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut Perlembagaan.

Ia berasaskan prinsip bahawa kerajaan dan mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakan dengan sikap telus dan terbuka.

“Bercakap mengenainya, dengan risiko kedengaran seperti ‘rekod yang rosak’ izinkan saya sekali lagi menggariskan kepentingan utama sebuah badan kehakiman yang bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa.

“Sebagai benteng keadilan itu sendiri, badan kehakiman sebegitu adalah sine qua non kedaulatan undang-undang,” tegas Anwar.

Sementara itu beliau turut menyeru kepada peguam untuk menjadi juara keadilan dan memastikan ia tidak dijdikan komoditi dan hanya berkhidmat kepada golongan yang mempunyai kemampuan kewangan sahaja.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast