KUALA LUMPUR – Persidangan pembangunan modal insan terbesar di Asia Tenggara akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 30 dan 31 Oktober ini bagi menghadapi cabaran perubahan pasaran modal insan global.

Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) tersebut bakal memberi tumpuan kepada memperkasakan pemimpin dan pengamal sumber manusia.

Lima teras persidangan merangkumi Teknologi dan Inovasi, Kepimpinan dan Pertumbuhan, Motivasi dan Kesejahteraan, Pembelajaran dan Perkembangan serta Tenaga Kerja Dinamik dan Tempat Kerja Masa Depan.

NHCCE 2023 akan memberikan pendekatan baharu terhadap peranan pemimpin dan pengamal sumber manusia dengan membawa pemikiran, teknologi dan proses baharu yang akan memacu kecekapan, kepantasan, inovasi dan produktiviti di tempat kerja.

Organisasi dan pengamal sumber manusia akan dibantu dalam menghadapi pelbagai kesukaran termasuk kekurangan bakat global, teknologi baharu, pengaturan kerja hibrid dan fleksibel, permintaan bakat yang meningkat dan budaya kerja yang berkembang.

menimbulkan kebimbangan tentang masa depan pekerjaan dan perkara yang bermakna untuk bakat rantau ini.

Justeru, penganjuran NHCCE 2023 adalah tepat pada masanya tambahan rantau Asia Tenggara kini berada dalam kedudukan unik untuk memajukan ekonomi yang pesat dan bersedia untuk bangkit selepas wabak Covid-19.

NHCCE 2023 memilih tema Menjana Pertumbuhan, Menginspirasikan Perubahan berdasarkan daya tahan ketara organisasi di Asia Tenggara dalam menghadapi gangguan global sejak beberapa tahun kebelakangan.

Ini dapat dilihat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN bernilai AS$3.66 trilion (RM17.04 trilion) tahun lalu dan tertinggi sejak wabak Covid-19 melanda. KDNK ASEAN diramalkan berkembang sebanyak 4.6% untuk tahun ini.

Bagi mengekalkan momentum tersebut dan memacu pembangunan ekonomi baharu, rantau ASEAN mesti beralih daripada buruh berkemahiran dan kos rendah kepada ekonomi nilai tambah.

Tema itu juga dipilih dengan bermatlamat untuk membina tenaga kerja yang tangkas dan bersedia untuk masa hadapan yang mampu bertindak balas terhadap perubahan sosioekonomi global pada masa hadapan.

Salah satu prasyarat ke arah membina tenaga kerja adalah pengamal sumber manusia yang diperkasakan mampu memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan semula matlamat organisasi dengan tuntutan industri semasa.

NHCCE 2023 akan menampilkan lebih daripada 30 pakar, pemimpin modal insan terkenal dan pengamal sumber manusia yang berfikiran ke hadapan untuk menyampaikan syarahan.

Ini termasuk ‘Bapa HR Moden’ Dave Ulrich; pengamal sumber manusia yang diiktiraf di peringkat global, Eric Termuende dan pengarang, penceramah dan pemimpin dunia dalam transformasi manusia, Dr Justin Cohen.

Turut memberikan syarahan adalah Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Maybank Datuk Nora Manaf; Pengarah Urusan Malaysia School of Ultimate Learning serta atlet MMA wanita pertama, Ann Osman dan Ketua UST Global (M) Sdn. Bhd., Amar Chhajer.

Topik persidangan meliputi Teknologi Kemanusiaan: Mencipta Pengalaman Pekerja Luar Biasa Hari Ini & Esok; Kepimpinan transformasi: Memperkasa Individu untuk Kejayaan Jangka Panjang dan Menerima SDG: Mengutamakan Kesihatan Bakat dan Kesejahteraan Holistik.

Belajar @Kerja: Pembangunan Kemahiran Menempuh Era Digital dan Revolusi Tempat Kerja: Mentakrifkan Semula Kerja & Pekerja dalam Era Pertumbuhan Baharu.

Pakej persidangan antara RM500 hingga RM2,500 bagi rakyat tempatan dan orang ramai yang berminat dialu-alukan untuk membuat tempahan sekali gus menyertai NHCCE 2023.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi laman web www.hrdcorp.gov.my ; E-mel [email protected] atau ditalian 03-7661625.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast