Tiga wanita Muslimat Pas Sungai Petani, Kedah maut dalam kemalangan ketika bantu mangsa kemalangan lain di Behrang, Perak hari ini.

IPOH – Tiga anggota Dewan Muslimat Pas yang dalam perjalanan pulang dari muktamar parti itu di Shah Alam maut dirempuh sebuah kereta ketika berhenti memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan lain di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Behrang, hari ini.

Kejadian jam 2 petang itu mengakibatkan, Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23 dan Ketua Dewan Muslimatnya, Taibah Sulaiman, 61, maut di lokasi kejadian.

Manakala seorang lagi mangsa, Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Dua mangsa meninggal di lokasi kejadian manakala seorang lagi di hospital.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan empat kereta dan dua motosikal.

Jelas beliau, siasatan di lokasi mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Kedah, hilang kawalan sebelum berpusing dan terbalik di longkang kiri jalan.

“Susulan itu, tiga wanita berkenaan memberhentikan kereta jenis Toyota Fortuner dinaiki mereka di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan kepada pemandu pacuan roda.

“Selain tiga mangsa tersebut, dua penunggang motosikal masing-masing lelaki berusia 42 dan 46 tahun serta pemandu kereta jenis Perodua Myvi turut berhenti di lorong kecemasan bagi menghulurkan bantuan.

Dua penunggang motosikal serta pemandu kereta Myvi turut cedera akibat rempuhan itu.

“Bagaimanapun, lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah yang sama di lorong kanan, dikatakan hilang kawalan lalu terlanggar tiga wanita dan tiga lelaki yang sedang membantu mangsa kemalangan hingga mengakibatkan semua mangsa terhumban ke dalam longkang di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Hasni, impak rempuhan itu menyebabkan dua wanita meninggal di lokasi manakala seorang lagi di hospital.

“Mangsa lain hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast