Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersama tetamu jemputan melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian "The 5th ASEAN-China Media Week" di PICC, Putrajaya . Foto QURRATU AINI, 21 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia dan China akan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan hubungan dua hala termasuk bidang pembikinan kandungan dan keselamatan siber.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua negara yang telah menandatangani MoU dalam bidang telekomunikasi pada September tahun lalu berpendapat terdapat lagi persefahaman dalam bidang lain yang boleh diwujudkan pada masa akan datang.

“Mesyuarat dua hala telah diadakan dengan wakil dari China dan terdapat beberapa perkara yang dibincangkan termasuk langkah kerjasama erat antara kedua-dua negara.

“Ia dalam beberapa bidang termasuk penciptaan kandungan atau pengeluaran bersama yang memfokuskan kandungan yang turut menarik pelancong China ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Media ASEAN-China kelima di sini hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap pada media setelah selesai Majlis Perasmian “The 5th ASEAN-China Media Week” di PICC, Putrajaya . Foto QURRATU AINI, 21 OKTOBER 2023.

Fahmi menambah, mesyuarat dua hala dengan China turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam media, penyiaran, pertukaran berita dan industri kreatif.

Pada masa sama, beliau telah dijemput untuk mengadakan lawatan kerja ke Beijing dan bertemu dengan beberapa pihak termasuk rakan sejawatannya.

Menurutnya, beliau juga dipelawa bertemu syarikat induk yang mengendalikan platform media sosial TikTok di China.

“Saya mengalu-alukan jemputan itu dan percaya ia dapat membantu kami memahami beberapa perkara berkaitan aplikasi TikTok termasuk TikTok Shop. Kami akan berbincang (dengan China) apa yang boleh kami lakukan,” tambahnya.

Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, Malaysia akan meneliti tindakan yang diambil oleh kerajaan Indonesia untuk mengharamkan transaksi e-dagang di TikTok sebelum merangka langkah sewajarnya.

Indonesia telah melaksana langkah untuk melindungi perniagaan kecil dan sederhana yang sebahagiannya beroperasi di luar talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast