YANGON (Myanmar) – Proses bedah siasat ke atas jenazah mangsa pemerdagangan manusia yang maut dalam tahanan Imigresen Taichileik, Muhammad Izzat Abdul Wahab dilakukan di Hospital Yangon hari ini.
Ini ekoran pihak hospital berjaya mendapatkan pegawai forensik yang melakukan proses bedah siasat ke atas mangsa, kata abang mangsa, Muhamad Asmawi Abdul Wahab.
“Kalau ikutkan Sabtu dan Ahad mereka tidak buat proses bedah siasat namun oleh kerana usaha yang dilakukan oleh pihak kedutaan, maka proses dapat dijalankan.
“Alhamdulillah dapat postmorterm awal apa dirancangkan berbanding Isnin ini. Jadi pagi tadi (Sabtu) proses dimulakan selepas pihak keluarga dihubungi untuk mengesahkan proses dokumentasi.
“Sehingga sampai sekarang, kami masih belum dapat maklumat sama ada proses bedah siasat diselesaikan dalam tempoh bila,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus pulang dari Hospital Yangon di sini hari ini.
Tambah Asmawi, proses bedah siasat dijalankan walau sedikit lewat selepas pengesahan dilakukan kerana kesukaran mencari doktor ganti untuk melakukannya.
Bagaimanapun beliau berpuas hati selepas membuat pengecaman ke atas mayat adik bongsunya dan bersyukur jenazah sempurna dan cukup sifat.
Keluarga Hasmanizam bertolak ke Myanmar Jumaat lalu bagi menuntut mayat Izzat dan berharap dapat membawa jenazah pulang untuk dikebumikan di tanah air selepas proses bedah siasat selesai.
Manakala jenazah Izzat dibawa dari Hospital Taichileik tiba di Yangon pukul 8.30 malam waktu tempatan di sini
Allahyarham Muhammad Izzat, 28, berasal dari Peramu, Kuantan maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh wakil sebuah pertubuhan kemanusiaan pada 14 Oktober lalu.
Arwah merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri,27, dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun. – MalaysiaGazette