Abdullah Sulaiman bersama isteri dan tujuh anaknya usai majlis Konvokesyen UMT Kali Ke 21.

KUALA NERUS – Kesibukan kerja serta menyandang jawatan penting dalam organisasi bukan penghalang untuk Dr. Abdullah Sulaiman menggenggam Doktor Falsafah (PHD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 di sini.

Abdullah, 54, berasal dari Pasir Mas, Kelantan menyifatkan pengorbanan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi demi menyahut cita-citanya sejak dibangku sekolah selain menunaikan hasrat ibu dan arwah ayah untuk mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.

Dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kehidupan anak sulung daripada sembilan beradik ini amat daif.

Ayahnya hanya seorang penoreh getah dan ibu guru al- Quran di kampung.

“Arwah ayah sangat titik beratkan pelajaran, walaupun terpaksa menelaah menggunakan pelita ayam dan mandi perigi serta makan bercatu, ayah tetap tak nak kami adik beradik keciciran dalam pelajaran. Tiap pagi bangun sebelum subuh membawa pelita ayam ke perigi untuk mandi. Bergilir-gilir sehingga kesemuanya selesai mandi barulah balik ke rumah. Itulah rutin harian kami setiap hari sebelum ke sekolah.

“Waktu tu kampung saya masih belum ada bekalan elektrik dan air sehinggalah pada tahun 1984 semasa saya di tingkatan tiga. Masih terbayang pengorbanan ayah bekerja siang dan malam demi melihat anak-anak berjaya. Malah seringkali melupakan hak sendiri demi melihat anak-anak mendapat kelengkapan yang baik ke sekolah.

“Alhamdulillah hasil daripada ketegasan ayah serta keperitan hidup yang pernah dilalui, kami lapan beradik akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dua antaranya berjaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan Amerika Syarikat. Malah saya harap kejayaan saya pada hari ini menjadi inspirasi dan jati diri kepada anak-anak untuk menuntut ilmu keperingkat yang lebih tinggi serta mengambil iktibar dengan
kepayahan saya dahulu. Dengan ilmu kita mampu mengubah nasib keluarga”, ujarnya.

Bagi Abdullah, apa yang membuatkan dia mencapai tahap seperti sekarang disebabkan kekuatan arwah ayah yang berjaya membesarkan mereka adik beradik walaupun serba kekurangan, juga pengorbanan isteri tercinta Norly Anida Anuar, 47, yang sentiasa memahami dan menjaga kebajikan anak-anak ketika dirinya keluar mencari rezeki dan menuntut ilmu.

“Hari ini saya dedikasikan kejayaan ini untuk arwah ayah dan ibu yang tidak dapat bersama kerana menghidap angin ahmar menyebabkannya terlantar hampir 10 tahun,” tambahnya.

Kejayaan bapa kepada tujuh orang anak ini yang juga Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) berpegang teguh kepada prinsip ‘Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China’.

Berpengalaman dalam bidang geologi selama 30 tahun serta mempunyai kepakaran dalam geologi marin selama 25 tahun, kepakaran Abdullah diangkat oleh UMT dengan melantikknya sebagai Profesor Adjung UMT pada Januari 2022 dan ditempatkan di Institut
Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Beliau kini merupakan Ahli Geologi profesional dan membawa gelaran Professional Geologist (P.Geol).

Menariknya bidang kajian PhD Abdullah adalah berfokus kepada isu perubahan iklim sejagat khususnya kenaikan paras laut.

Kajian perubahan atau kenaikan paras laut kuno di Selat Melaka/Malaysia sejak 21,000 tahun dahulu hingga kini. Ianya sangat penting bagi meramal kenaikan paras laut akan datang disebabkan perubahan iklim global. Kajian ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia khususnya di Selat Melaka serta akan menjadi rujukan global dalam bidang tersebut.

Malah kepakaran Abdullah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadi pakar rujuk dalam bidang geologi khususnya geologi marin.

Melalui kerjasama erat JMG-UMT telah memberi ruang kepada UMT dalam mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran daripada beliau malah graduan UMT turut diberi peluang menerokai bidang geologi di JMG.

Menariknya JMG-UMT telah menandatangani MOU pada 2012 dan melalui kerjasama ini pada tahun 2019 UMT berjaya menubuhkan jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Hasilnya 33 orang graduan sulung ini turut diraikan dalam Konvokesyen hari ini.

Seramai 2,388 graduan UMT yang terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah dan 2,192 graduan prasiswazah akan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam majlis konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula hari ini hingga 24 Oktober ini. – MalaysiaGazette