Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang antara Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dengan Mohd Isa Abu Kasim (kiri) baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat Teroka Majubina Sdn Bhd (Teroka Majubina) akan membangunkan sebuah Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas, Pekan, Pahang.

Ia merupakan projek usaha sama dengan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Pengerusi Teroka Majubina, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, Teroka MajuBina Shipyard Complex akan dimulakan pada tahun depan dan dijadual beroperasi pada tahun 2025.

Kompleks ini merangkumi kawasan seluas 1,000 ekar di Tanjung Agas, Pekan, akan menempatkan enam dry docks yang panjangnya 500 meter, dikelilingi oleh 12 dermaga.

” Projek ini sangat tepat pada masanya kerana Hong Kong Convention 2009 akan dikuatkuasakan pada Jun 2025, di mana mengikut
konvensyen ini, kapal atau struktur pelantar minyak/gas tidak boleh dihantar dari negara A ke negara B tanpa kepentingan yang munasabah.

“Oleh itu, projek ini akan membantu kapal-kapal milik Malaysia dan pelantar-pelantar minyak/gas milik Malaysia dapat dikitar semula secara selamat mengikut tatacara-tatacara International Maritime Organisation (IMO).

“Pada masa yang sama, European Union Regulations No 1257/2013 akan diperoleh oleh shipyard ini melalui konsultan-konsultan dari Eropah,” katanya.

Pembinaan kapal, penyelenggaraan kapal, kitar semula kapal dan kejuruteraan marin luar pesisir dan penyahtauliahan merupakan antara fungsi utama di kompleks limbungan hibrid ini.

Menurutnya, pelaburan dari luar negara dan juga dalam negeri akan menjadi asas kepada projek ini.

Kemudahan ini akan menjadi limbungan yang pertama di dunia yang bakal menggunakan 100 peratus sumber hijau yang boleh diperbaharui, malah, kemudahan ini akan menjadi fasiliti terbesar kitar semula hijau di Asia Tenggara.

Sebuah stesen janakuasa biomass 200MW yang menggunakan tandan kosong kelapa sawit akan dibina di dalam kompleks limbungan hibrid ini.

“Selat Melaka dilalui oleh lebih 90,000 buah kapal setiap tahun dan kedudukan Laut China Selatan yang strategik akan menjadi kelebihan kepada projek ini untuk berjaya.

“Oleh itu. projek ini akan menjadi satu kemegahan kepada Malaysia dalam pelbagai sudut,” ujar Mohd Isa,

Sebanyak 15,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan secara langsung dan 10,000 lagi pekerjaan secara tidak langsung.

Selain itu, sebuah universiti maritim antarabangsa akan diwujudkan di Kuantan dan pelajar-pelajar
tempatan dan luar negara akan menuntut di kampus utama di Kuantan dan menjalani latihan amali di kompleks ini.

Katanya, universiti ini juga akan menjadi pusat pengajian tinggi yang pertama di Malaysia bagi sektor maritim.

“Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat kepada beberapa daerah di Pahang, terutamanya Pekan dan Kuantan. Industri-industri sampingan akan wujud daripada projek ini. Projek ini akan menjadi game changer kepada industri maritim di Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast