KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa supaya bekas-bekas jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 diserap semula dalam pasukan kejurulatihan program tersebut
Menurut Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, cadangan ini sesuai memandangkan program yang diberhentikan pada 2018 dapat disambung dengan lebih berkesan.
Selain itu, cadangan itu dapat membantu kerajaan menjimatkan kos memberi latihan semula kepada jurulatih.
“Pengalaman serta kemahiran bekas-bekas jurulatih ini yang telah terlibat dalam PLKN sejak 2004 boleh membantu program ini dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Langkah ini juga dapat membantu kerajaan menjimatkan kos untuk memberi latihan semula kepada jurulatih kerana pengalaman terdahulu mereka ini dapat dimanfaatkan semula dengan acuan modul terkini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, CUEPACS berharap kerajaan dapat menimbangkan cadangan yang dikemukakan ini bagi memastikan PLKN 3.0 dapat dilaksanakan dengan jaya selain membantu menyelesaikan kemelut yang dihadapi bekas-bekas jurulatih terdahulu PLKN.
Tambahan pula ramai bekas-bekas jurulatih ini yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang masih menganggur selepas PLKN dibubarkan sepenuhnya pada 2018.
“Peluang kedua ini sepatutnya diberikan kepada mereka memandangkan janji kerajaan untuk memberikan pekerjaan kepada mereka masih tidak tertunai sepenuhnya.
“Pengambilan semula bekas jurulatih terdahulu dapat membantu mereka meringankan masalah kewangan kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak mampu menjelaskan pinjaman dengan institusi kewangan yang dibuat semasa bertugas dahulu,” tambah Adnan lagi.
Beliau yang mengalu-alukan pengenalan semula prgram ini yakin PLKN 3.0 yang lebih berfokus mampu membentuk belia yang mempunyai jati diri unggul.
“Pelaksanaan semula program ini dengan beberapa penambahbaikan yang boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan juga amat dipuji dan selari dengan penekanan tatakelola, urus tadbir yang baik seperti ditekankan Perdana Menteri,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Kerajaan setuju teruskan program PLKN, jalani latihan di kem tentera