Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelatih-pelatih yang terdiri dalam kalangan anak muda akan menjalani latihan di kem-kem tentera.

Menurutnya, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari dengan kapasitinya mampu menampung seramai 20,000 pelatih.

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN.

“Tetapi dengan template (acuan) baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan-cadangan pelaksanaan semua Program Latihan Khidmat negara (PLK) sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kaedah dan pelaksanaan PLKN di kem tentera adalah bagi mengelak perbelanjaan besar yang sebelum ini mencecah sehingga RM500 juta setahun.

Katanya, dengan pelaksanaan baharu itu Program PLKN hanya akan menggunakan perbelanjaan sebanyak RM100 juta sahaja.

“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan.

“Penjimatan ini adalah kerana kita menggunakan kem dan tentera (pengajar dan jurulatih) sendiri,” ujarnya.. – MalaysiaGazette