Foto memaparkan kemusnahan total di Gaza dengan kematian hampir cecah 5,000 nyawa.

GAZA CITY – Semenanjung Gaza melalui detik kesukaran malam tadi dan disifatkan sebagai malam berdarah apabila Israel melakukan serangan tanpa henti.

Pasukan tentera udara Israel menggugurkan bom di pelbagai kawasan di seluruh semenjung Gaza dengan kawasan kem pelarian yang padat dengan 120,000 nyawa di Jabaliah menjadi sasaran.

Kementerian Dalam Negeri Gaza dilaporkan berkata, sebuah pesawat Israel mengebom dua bangunan kediaman di Rafah dan Khan Younis.

Regim Zionis juga melakukan serangan udara Israel di sekitar Hospital Indonesia di bandar Beit Lahia di utara Gaza telah menyebabkan “kerosakan dan kecederaan serius.

Sementara itu Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pihaknya menerima lagi amaran daripada Israel untuk mengosongkan Hospital al-Quds.

Menurut Al-Jazeera, tentera Zionis turut memperkuatkan serangan dari darat yang turut menyasarkan pelbagai kawasan di dalam Gaza.

Pembunuhan beramai-ramai oleh pihak Israel menyaksikan sekurang-kurangnya 4,741 rakyat Palestin maut termasuk 1,873 kanak-kanak, 1,023 wanita dan 187 warga emas.

Sementara seramai 14,245 cedera sejak permulaan serangan pengeboman Israel di Gaza dua minggu lalu.

Dilaporkan sejumlah 20,000 buah rumah musnah sama sekali akibat serangan regim Zionis tersebut. – Agensi