Kalam Salan

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang mencuri perhatian Dewan Rakyat apabila membuat peringatan kepada kerajaan menggunakan bait lagu ‘Misteri Mimpi Syakila’ yang dipopularkan kumpulan rock terkenal, Wings.

Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) menyanyikan lagu itu ketika perbahasan Belanjawan 2024 di Parlimen pada sesi petang.

Beliau menyanyikan lagu tersebut sebagai sindiran agar Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri tidak sekadar hanya janji, sebaliknya perlu ditunaikan.

“Janganlah Belanjawan 2024 ini dijadikan lagu ‘Misteri Mimpi Syakila’ nyanyian kumpulan Wings.

“Lagu ini liriknya menceritakan kisah seorang lelaki yang memuji kekasihnya bernama Syakila…masa belum dapat bukan main lagi.

“Biarpun engkau menjelma di sini aku berdiri, ku menanti. Walau hilang ceritamu di hati tetap abadi sentuhanmu…itu sebelum dapat.

“Tapi bila sudah dapat rakyat datang tanya…mana Syakila, siapa Syakila…sekali dia jawab, aku pun tak tahu,” katanya sambil disambut hilai tawa Ahli-ahli Parlimen di blok pembangkang.

Terdahulu, Kalam turut membuat beberapa sindirian dalam perbahasanya termasuk membuat teguran menggunakan kaedah seperti bertalkin bagi mengaitkan janji-janji yang pernah dibuat parti-parti dalam kerajaan ketika berkempen pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ia teramsuklah mengenai isu pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pengukuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak.

“Janganlah kamu takut atau gentar kerana mereka juga adalah makhluk Allah sepeti kamu juga.

“Apabila mereka bertanya, maka jawablah dengan jelas dan lancar. Sudahkah kamu kukuhkan nilai ringgit, jawablah sudah…sudahkah kamu turunkan harga minyak jawablah sudah…sudahkah kamu hapuskan hutang PTPTN sebagaimana kamu berkempen, jawablah sudah…sudahkah kamu beri pendidikan percuma, jawablah sudah.

“Merujuk harga minyak ini janganlah beri alasan, itu saya cakap 2018…saya bukan kira tahun ya…kalau cakap tahun 1511 pun saya akan tuntut…kalau Alfonso de Albuquerque tu kata, menang lawan Melaka kita turunkan harga minyak. Kalau sekarang ni dia masih hidup saya akan jumpa dan tanya dia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast