KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki di rumahnya di Bangsar, di sini, awal pagi tadi bagi membantu siasatan membabitkan pengubahan wang haram.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek warga tempatan itu akan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang dan akan direman pada jam 10 pagi hari ini.
“Setakat ini Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah merampas 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu unit pemprosesn pusat (CPU) dan 10 barang kemas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ramli memberitahu, reman ke atas suspek utama iaitu seorang pengasas bersama yang juga pemegang saham terbesar syarikat penerbangan, MYAirline Sdn. Bhd. akan tamat pada hari ini.
Tambah beliau, individu tersebut akan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan masih diteruskan dengan fokus semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve,” katanya.
Pada Sabtu lalu, lelaki tersebut disambung reman selama dua hari bagi membantu siasatan dengan 15 akaun bank simpanan mencecah RM5 juta miliknya dibekukan polis.
Anak dan isteri lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada 17 Oktober lalu, ketiga-tiga individu tersebut ditahan di Shah Alam.
Sebelum ini, Ramli berkata, dijalankan secara menyeluruh mencakupi semua aspek termasuk punca dan jejak perjalanan wang dari awal sehingga penubuhan syarikat penerbangan terbabit.
Beliau menjelaskan, suspek pernah terkait dengan kes I-Serve Online Mall Sdn Bhd (I-Serve Online Mall) sebelum ini dan kemudian menubuhkan syarikat penerbangan itu. -MalaysiaGazette