Muhamad Hasmanizam Abdul Wahab. Gambar kecil Allahyarham Muhammad Izat.

YANGON (Myanmar) – Proses dokumen pelepasan bagi kebenaran membawa balik jenazah Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab ke tanah air untuk dikebumikan selesai sepenuhnya hari ini.

Pihak imigresen dan kastam di Myanmar telah memproses dokumen perjalanan dalam tempoh dua hari setelah menerima sijil kematian Muhammad Izzat, kata abangnya, Muhammad Hasmanizam Abdul Wahabi.

“Jenazah arwah akan dibawa menaiki penerbangan MH741 pukul 11.25 pagi Khamis ini dan dijangka tiba pada 3.50 petang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) waktu tempatan.

“Setibanya jenazah di kargo dan perlepasan kastam di Malaysia, jenazah akan dibawa ke Kuantan diiringi van jenazah oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Insya Allah Pakdik (nama gelaran kepada arwah)  akan disolatkan di masjid akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peramu, Kuantan,” katanya.

Tambah Hasmanizam, keluarganya sepakat membuat keputusan tidak akan melakukan bedah siasat kali kedua ke atas jasad adik bongsunya selepas setibanya di tanah air.

“Tiada post morterm kali kedua kerana keluarga berpuas hati dengan keputusan perubatan kerana ia dipantau pihak Kedutaan Besar Malaysia di Yangon.

“Alhamdulillah semua urusan kami sekeluarga dipermudahkan dan tiada halangan untuk membawa adik kami pulang,” katanya. – MalaysiaGazette