CYBERJAYA – Sebahagian besar pembeli kediaman Aspire Residence di sini mendesak pemaju membayar Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) secara penuh dan bukannya 15 peratus seperti mana yang ditawarkan ketika ini.
Tawaran itu bukan sahaja menyinggung perasaan pembeli yang menunggu lebih tujuh tahun projek itu disiapkan, bahkan ia melanggar Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) pada 2016.
Jurucakap penduduk, Siti Azielah Wahi, 38, melahirkan rasa kesal apabila dia kerugian lebih RM100,000 sekiranya pemaju hanya mahu membayar ganti rugi kelewatan projek sebanyak 15 peratus sahaja.
“Kalau pembeli awal pada 2016 hingga 2017, tuntutan LAD kami ada yang berjumlah RM100,000 jika 15 peratus kira-kira RM15,000 sahaja. Jumlah ini tidak adil untuk kita yang menanggung bermacam kerugian selama projek tak siap.
“Kami nak minta supaya SPNB bertanggungjawab sepenuhnya dan mematuhi S&P (perjanjian jual beli), bayar (LAD) seperti mana tertakluk dalam perjanjian.
“Ramai juga sudah mula ambil tindakan undang-undang untuk menuntut hak kami sebagai pembeli,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun pembeli mula mendapat kunci rumah masing-masing bermula hari ini, namun tiada sebarang bayaran LAD dibuat pihak pemaju, SPNB Aspirasi Sdn Bhd kepada penduduk.
“Sepatutnya SPNB kena buat bayaran sama ada tunai ataupun cek bila kunci rumah diserahkan kepada pembeli. Setakat ini pembeli masih tak dapat apa-apa mesej daripada SPNB mengenai bayaran LAD.
“Malah kakitangan SPNB yang menguruskan bayaran LAD tidak hadir pada penyerahan kunci rumah hari ini,” katanya.
Selain itu, Siti Azielah turut mendakwa pihaknya turut diugut pengurusan SPNB yang memberi kata dua kepada pembeli, sama ada terima tawaran 15 peratus atau sebaliknya.
“Ada info daripada pihak SPNB bagi kata dua, nak terima, ambillah (tawaran) 15 peratus itu, kalau tidak take it or leave it.
“Bagi kita itu satu ancaman, kami sebagai pembeli kita rasa teraniaya, hak kami dinafikan.
“Saya sendiri terpaksa tanggung bayaran pinjaman progresif rumah lebih RM1,300 sebulan, bukan pinjaman pokok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette