Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kesal dengan laporan beberapa portal berita yang didakwa cuba menimbulkan persepsi kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima rasuah RM2 juta.

Menurut beliau, Najib sekali lagi menjadi mangsa fitnah sedangkan nama beliau dipergunakan dalam perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Namun, Mohd Puad berkata, saksi iaitu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengaku wang tersebut diberikan kepada orang tengah yang juga ahli perniagaan, G Gnanaraja ketika disoal balas oleh peguam, Gobind Singh Deo.

“Dia percaya Gnanaraja boleh pujuk Najib supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buang kes bekas Ketua Menyteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Zarul mengaku dia tidak kenal dan tidak pernah jumpa Najib,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau memberitahu, kebanyakan portal berita tidak melaporkan sepenuhnya prosiding perbicaraan tersebut.

“Mereka masih mahu memburuk-burukkan Najib dengan tajuk berita ‘sensasi’,” jelasnya.

Guan Eng, 63, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Tingkat 28, Komtar, Georgetown, antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Pengerusi DAP itu didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek terbabit.

Guan Eng dituduh melakukan kesalahan berkenaan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pengerusi DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut terbabit. – MalaysiaGazette