Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Siasatan yang akan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Aman Palestin melibatkan cara bagaimana pungutan wang dibuat serta bagaimana wang itu dibelanjakan.

Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah berkenaan diambil susulan terdapat dakwaan yang mengatakan wang dikutip telah disalahgunakan.

“Jadi, dalam siasatan kita perlu lihat dari mula wang dana dibuat dan ke mana wang dibelanjakan dan adakah mereka ikut peraturan undang-undang ditetapkan di negara kita ini dalam membelanjakan wang berkenaan.

“Kita belum memanggil (Aman Palestin) tapi, kerjasama dari pihak Aman Palestin dari pihak direktor kerana di peringkat sekarang ini kita belum temukan banyak maklumat yang perlu kita kaji…dan saya boleh katakan kita perlu buat forensik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan International Anti-Bribery Anti-Corruption Summit 2023 (ABAC), di sini, hari ini.

Menurut Azam, di peringkat penyiasatan forensik, pihaknya belum merakam percakapan namun telah menyoal siasat saksi-saksi dan mendapat penjelasan terutama sekali dari pihak yang terlibat dalam mengurus perbelanjaan.

Sebelum ini, Azam berkata, SPRM telah memulakan siasatan ke atas Aman Palestin berhubung aktiviti pengumpulan derma oleh badan bukan kerajaan tersebut untuk rakyat Palestin.

Katanya, SPRM berkuasa untuk memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam media meskipun tiada aduan formal dibuat.

Sumber SPRM pula mengesahkan, Aman Palestin merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan yang berdepan siasatan kerana ada dakwaan salah guna dana kutipan derma dan ketidaktelusan dalam laporan audit.

Terdahulu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Perlis menegah kutipan derma oleh Aman Palestin di surau dan masjid di Perlis. – MalaysiaGazette