Mohd Shahedan menunjukkan gambar murid tabika Kemas terpaksa menggunakan dewan MPKK susulan bekalan elektrik tabika itu dipotong akibat gagal bayar bil.

GEORGE TOWN – Seorang bapa kesal dan kecewa selepas sesi pembelajaran anaknya berusia lima tahun di sebuah Tabika Kemas dalam kawasan Datuk Keramat di sini, tergendala selama sebulan selepas bekalan elektrik di premis itu dipotong.

Mohd Shahedan Mohd Amin, 40, mendakwa pemotongan elektrik itu berlaku ekoran kegagalan pemilik bangunan dua tingkat itu menjelaskan tunggakan bil berjumlah hampir RM4,500 sejak Disember tahun lalu.

Menurut pekerja swasta itu, keadaan tersebut bukan saja menyukarkan pelajar meneruskan sesi pembelajaran malah turut membebankan ibu bapa yang perlu mencari alternatif lain bagi memastikan pendidikan anak masing-masing tidak terhenti.

Katanya, ini merupakan kali kedua elektrik di tabika Kemas itu dipotong atas alasan tunggakan bil dan pemotongan pertama berlaku pada Mei lepas namun dalam tempoh sehari isu itu diselesaikan manakala pemotongan terbaru pada 20 September lalu itu berlarutan sehingga semalam.

Mohd Shahedan.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek,  guru tabika itu terpaksa melakukan sesi pembelajaran secara dalam talian bagi dua minggu pertama, namun bukan semua pelajar memiliki kemudahan atau akses untuk kelas tersebut kerana ibu bapa bekerja pada waktu itu sekali gus mengakibatkan mereka terlepas sesi pembelajaran berkenaan.

“Susulan itu, pada 9 Oktober lalu pihak berkaitan meminta ihsan Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menggunakan dewan di Jalan Patani sebagai tempat sementara meneruskan sesi pembelajaran namun itu pun masih menjadi kekangan kepada semua pelajar hadir kerana dewan itu jauh daripada lokasi asal tabika.

“Saya rasa ramai sedia maklum kebanyakan pelajar di tabika Kemas ini terdiri daripada keluarga B40 jadi tak semua miliki kemudahan kenderaan untuk menghantar anak dan ia antara punca tidak ramai pelajar hadir sesi pembelajaran di dewan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Shahedan, episod realiti pahit itu menemui jalan penyelesaian apabila pihak pengurusan Kemas di Putrajaya melunaskan tunggakan bil tersebut semalam dan sesi pembelajaran dibenarkan berlangsung di tabika seperti biasa hari ini.

“Ingatkan sesi persekolahan anak bongsu saya ‘tamat’ awal berbanding sesi asal iaitu Februari depan disebabkan isu ini namun saya bersyukur ia telah selesai sekali gus membolehkan anak-anak belajar seperti biasa.

“Bagaimanapun, perkara ini masih menghantui ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tabika tersebut kerana takut insiden sama berulang.

“Oleh itu, kita mohon jasa baik pemilik bangunan serta pihak pengurusan Tabika Kemas cakna semua perkara berkaitan tabika kerana kegagalan pihak tertentu memberi impak besar kepada pembelajaran anak-anak kecil,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, seramai 23 murid berusia lima dan enam tahun belajar di tabika yang diuruskan seorang guru wanita bersama pembantunya di tingkat dua ruangan bangunan sebuah parti politik.

Difahamkan, pembayaran tunggakan bil itu mengambil masa lama susulan pihak Kemas perlu mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kewangan (MOF) untuk membuat bayaran sebagaimana prosedur kewangan yang berkuatkuasa. – MalaysiaGazette