Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bentuk ugutan dan tekanan diterimanya berikutan pendirian Malaysia dalam isu Palestin.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Anwar tidak menjelaskan apakah tekanan dan ugutan yang dimaksudkan beliau dalam ucapan sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin, di Stadium Axiata Bukit Jalil, malam tadi.

“Apa yang penting jika tekanan itu dalam bentuk ekonomi, ia agak mendukacitakan kerana dalam keadaan perdana menteri pernah mengusulkan agar dirujuk perbuatan ganas rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di PBB pun kita tidak dengar tentang ugutan ini, tiba-tiba hari ini ada pihak berani ugut perdana penteri kita.

“Jika ugutan itu berbentuk ancaman keselamatan, maka pihak berkuasa termasuk PDRM, khidmat risikan dan sebagainya perlu tingkatkan keselamatan kepada Perdana Menteri.

“Kita tidak mahu perdana menteri yang kita sayang ini diugut dan ditekan kerana isu Palestin. Sebab itulah saya fikir perdana menteri perlu nyatakan apa ugutan dan tekanan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, jika dimaksudkan itu ialah ugutan keselamatan, tindakan segera kerajaan khususnya pihak keselamatan sangatlah dituntut.

“Kita sayang PM kita. Jika tiada tindakan serius untuk menangani isu ugutan ini, seolah-olah pihak keselamatan sendiri tidak percaya tentang adanya ugutan ini,” ujarnya.

Ketika memberi amanat di hadapan lebih 16,000 rakyat Malaysia yang membanjiri Axiata Arena di Bukit Jalil dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di sin malam tadi,
Perdana Menteri berkata, beliau menerima ugutan negara barat susulan kelantangannya memperjuangkan isu Palestin.

Mengakui beliau kini berdepan ugutan negara besar dunia termasuk Amerika Syarikat serta beberapa negara Eropah, Anwar tegaskan yang beliau tidak akan tunduk sama sekali.

“Saya dimaklumkan bahawa negara-negara Eropah da AS mengutuk serta mengecam tindakan saya mengutuk serangan Israel di Palestin. Tetapi saya nak sebut di sini bahawa AS dan Eropah kamu salah pilih orang, saya tidak akan takut dengan ugutan kamu.

“Malaysia sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, mempertahankan kebebasan dan membuat keputusan sendiri terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan akan tetap lawan menentang sikap kejahilan, tidak berperikemanusiaan yang ditunjukkan rejim Zionis Israel,” katanya diiringi sorakan gemuruh hadirin. – MalaysiaGazette