SINGAPURA – Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Infocomm Media Development Authority (IMDA) hari ini menerbitkan kertas rundingan bersama yang mencadangkan Rangka Kerja Tanggungjawab Bersama (SRF) untuk penipuan pancingan data.

SRF menetapkan tanggungjawab relevan kepada institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk mengurangkan penipuan pancingan data dan perlu membayar kepada mangsa penipuan yang terjejas apabila tanggungjawab ini tidak dipenuhi.

“SRF memberikan tanggungjawab bersama dengan menetapkan tindakan anti-penipuan huluan yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi. Pelanggaran kewajipan akan mengakibatkan pembayaran kepada mangsa penipuan yang terjejas.

“Ini untuk mendorong semua pihak agar sentiasa berwaspada dalam ekosistem bagi menjaga keselamatan dalam e-pembayaran,” kata Timbalan Pengarah Urusan (Penyeliaan Kewangan) MAS, Ho Hern Shin, dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif (Kesalinghubungan, Pembangunan & Kawal Selia) IMDA, Aileen Chia berkata, badan itu bekerjasama rapat dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan pendekatan pelbagai lapisan bagi mengelakkan penipuan dilakukan melalui panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).

“Langkah-langkah seperti Pendaftaran ID Pengirim SMS mandatori yang diperkenalkan pada Januari 2023 telah mengurangkan dengan ketara bilangan kes penipuan SMS sebanyak 70 peratus dalam tempoh tiga bulan sejak pelancarannya.

“Kemasukan syarikat telekomunikasi dalam SRF sebagai penyedia infrastruktur sokongan berfungsi untuk mengukuhkan ekosistem daripada penipuan,” kata Chia.

MAS dan IMDA mempelawa pihak yang berminat untuk mengemukakan pandangan mereka mengenai cadangan itu pada 20 Dis, 2023. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast