Orang ramai hadir bagi menyatakan solidariti terhadap peperangan yang berlaku di Palestin pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto QURRATU AINI, 24 OKTOBER 2023.

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im  Mokhtar berkata, adalah tidak wajar untuk menyatakan Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlangsung semalam sebagai syok sendiri.

Sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia perlu mengenepikan perbezaan ideolisme dan politik dalam memberi sokongan kepada Palestin.

Menurut beliau, solidariti itu merupakan perkara paling kecil yang boleh dibuat simbolik untuk terus memberi sokongan kepada saudara Islam di sana yang kini berdepan dengan kekejaman Israel.

“Saya sudah sebut sesuatu perbuatan kita buat bergantung dengan niat. Niat penganjur dan niat Perdana Menteri jelas memanggil rakyat Malaysia bersama-sama dalam himpunan untuk zahirkan kebersamaan kita dengan rakyat Palestin. Itu perkara paling kecil kita boleh buat.

“Tapi kalau kita sebut syok sendiri, apa peranan yang dakwa itu pula?

“Kita ketepaikanlah perkara kecil, perbezaan politik kita ada masalah yang begitu besar sekarang,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pengguna media sosial yang mendakwa Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil sebagai syok sendiri.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-40.

Jelas Mohd Na’im, melalui himpunan tersebut juga rakyat berpeluang mengetahui usaha semasa kerajaan untuk membantu dan memberikan sokongan berterusan kepada Palestin yang dijelaskan oleh perdana menteri.

“Paling kurang PM panggil kita dan terangkan apa yang telah dilakukan. Rakyat boleh dengar dari mulutnya sendiri apa usaha Malaysia, usahanya jumpa dengan siapa, perbincangan isu Palestin, bagaimana membantu rakyat di sana,” tambahnya.

Himpunan Malaysia Bersama Palestin anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Global Peace Malaysia (GPM) selain lebih 40 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), MyAqsa Defenders, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).- MalaysiaGazette