Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menawarkan tajaan yuran pengajian di sepanjang tempoh pengajian untuk pelajar baharu dari Palestin bagi sesi pendaftaran akademik 2023/2024.

Naib Canselor Uniten, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, tawaran itu dasar dan semangat kebersamaan meringankan beban rakyat Palestin.

“Keseluruhan warga Uniten sentiasa komited dan seiring dengan kerajaan bagi memastikan sokongan penyelesaian praktikal kepada isu konflik Palestin-Israel yang rumit ini.”

“Kami percaya penghuluran bantuan kepada pelajar Palestin dalam menggapai cita-cita mereka menerusi bidang pendidikan tinggi di Malaysia adalah antara kaedah terbaik dan rasional yang menghala ke arah penemuan penyelesaian yang bermanfaat untuk negara mereka satu masa nanti. Saya secara peribadi yakin yang kejayaan dalam bidang pendidikanlah yang akan membangun dan memerdekakan bumi Palestin kelak.”

“Penawaran pengecualian yuran pengajian kepada pelajar-pelajar yang berasal dari Palestin kemasukan baharu bagi tahun pengajian 2023/2024 ini adalah tanda keprihatinan dan solidariti Uniten dalam isu kemanusiaan yang rumit ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tawaran ini meliputi kesemua program pengajian di keseluruhan kampus Uniten.

Sebarang maklumat lanjut mengenai tawaran ini boleh didapati melalui Renee Marcia, Pengarah, Jabatan Pemasaran, Kemasukan, dan Hubungan Pelanggan Uniten di [email protected]

Uniten turut komited untuk berkerjasama dengan agensi-agensi kemanusiaan dan organisasi berkaitan yang diiktiraf Kerajaan dalam menyalurkan bantuan ke bumi Palestin. – MalaysiaGazette