Dua rakan hari ini dilepas dan dibebaskan atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja tiga tahun lepas.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan dua rakan daripada hukuman mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah pusat beli-belah di Skudai pada 2020.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu terhadap Effy Sharaffi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes itu di akhir pendakwaan.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan berat kasar 455 gram di tempat letak kereta di tingkat dua pusat beli-belah Skudai Parade kira-kira 6 petang pada 16 Julai 2020.

Dengan itu, mereka didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, rantaian bukti terhadap barang kes itu terputus selepas pihak pendakwaan tidak dapat memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala Effy Sharaffi diwakili peguam, Nur Helmi A Halim dan Indra Ironi diwakili peguam, Mohd. Tarmeze Mohd. Taib dan Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Dalam pada itu, Noor Hayati turut memerintahkan Effy Sharaffi untuk membela diri bagi pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis ganja dengan berat bersih 10.14 gram di tempat dan lokasi yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan penjara maskimum lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Effy Sharaffi menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu ketika diperintah untuk membela diri.

Nur Helmi dalam hujahannya berkata, ini merupakan kesalahan pertama dihadapkan tertuduh dan pengakuan bersalah bertujuan untuk menjimatkan masa semua pihak setelah berada dalam tahanan sejak tiga tahun lalu.

Noor Hayati memerintahkan dia dipenjara tiga tahun dari tarikh tangkapan iaitu 16 Julai 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast