KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang meneliti cadangan bagi merungkai kesesakan yang berlaku tertutama di Tambak Johor.
Jelas beliau, antaranya cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan feri menghubungkan kedua-dua negara, terutama dari Johor Bahru ke Singapura.
“Kita sedang cuba melihat pelbagai cara melibatkan koordinasi daripada pelbagai agensi untuk mengurangkan masa yang kita perlukan untuk menyeberangi Tambak Johor itu.
“Antara perkara diambil perhatian umpamanya kaunter untuk kemasukan dari Singapura, untuk membayar caj, sudah disatukan,” katanya.
Anthony berkata demikian menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN – Jerantut) yang membangkitkan isu kesesakan di Tambak Johor dalam Dewan Rakyat hari ini.
Tambah beliau, isu tersebut sememangnya dalam perhatian kerajaan malah Jawatankuasa Khas Kabinet juga ditubuhkan bagi membincangkan masalah tersebut.
Anthony berkata, cadangan itu sduah tentu akan mejimatkan masa namun pelaksanaan perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ada pelbagai cara lain juga seperti menambah lorong motosikal, kaunter dan memastikan semua kaunter itu digunakan sepenuhnya.
“Kita rasa bukan mudah untuk kita selesaikan dari segi kesesakan ini. Dari segi jangka masa panjang, bila siap projek RTS (Sistem Transit Rapid) ia dapat menyuraikan kesesakan di Tambak Johor,” katanya. – MalaysiaGazette