Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2024 seolah-olah memberi gambaran yang ekonomi tahun depan bakal menjadi lebih teruk dengan dasar tidak cakna rakyat iaitu menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan mendakwa, rakyat menjadi tempat memerah duit tatkala kerajaan masih berbelanja seperti biasa.

Katanya, Cukai Perkhidmatan dinaikkan dari enam peratus kepada lapan peratus, kecuali makanan, minuman dan telekomunikasi.

“Namun secara realistik akan berlaku rantaian kenaikan cukai kerana kos pengangkutan, kos logistik dan kos bahan mentah akan meningkat menyebabkan kos makanan, minuman dan telekomunikasi turut akan meningkat,” katanya menerusi kenyataan.

Shahir berkata, di saat cukai dinaikkan, harga siling ayam dan telur ditarik balik.

Ertinya harga ayam dan telur diapungkan dan bakal mencanak naik harganya.

“Walaupun SST kekal enam peratus untuk makanan, namun kos pengangkutan, logistik, dedak ayam contohnya akan menggunapakai cukai SST lapan peratus…semestinya harga ayam dan telur akan meningkat tinggi,” jelasnya.

Menurut Shahir lagi, jika sebelum ini, rakyat yang susah dapat menikmati hidangan telur sebagai sumber protein namun pada tahun depan, harganya akan dilambungkan.

Peniaga restoran juga bakal terkesan dengan peningkatan harga ayam dan telur hingga akibatnya harga makanan bakal melonjak tinggi, katanya.

Tambah beliau, solusi “jangan makan luar” hanyalah retorik kerana ia tidak praktikal.

“Jangan menidakkan golongan B40 untuk tidak makan luar seperti golongan M40 atau T20.

“Kenaikan SST tahun hadapan bakal menjadi malapetaka ekonomi kepada rakyat dan negara di saat nilai ringgit yang kian lemah…kuasa beli rakyat kian terhakis,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast