Datuk Ahmad Jazlan ketika melakukan lawatan kerja di Projek ternakan ayam pedaging berskala besar secara sistem tertutup di Tanjung Seratus, di sini, hari ini.

ROMPIN – Fasa pertama Projek ternakan ayam pedaging berskala besar secara sistem tertutup di Tanjung Seratus di sini dijangka akan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang Jun 2024.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan berkata, ia meliputi pembinaan 10 reban ayam bertingkat yang mampu membekalkan lebih tiga juta ayam pedaging untuk pasaran ke seluruh negara bagi tahun pertama pembinaannya.

“Kita akan memaksimakan penggunaan reban-reban ini di mana kita akan menggunakan lapisan di bawah untuk kita gandakan pengeluaran ayam.

“Siap keseluruhan nanti, kita dijangka dapat menyumbang kira-kira 10 juta ekor ayam pedaging dalam masa tiga atau empat tahun akan datang,” katanya.

Datuk Ahmad Jazlan

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja meninjau perkembangan pembangunan Projek Kompleks Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra di sini hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, buat masa ini, sebuah reban ayam telah beroperasi sepenuhnya secara percubaan dan menuai hasil sebanyak dua pusingan membabitkan 60,000 ekor ayam pedaging.

Pusingan pertama bagi reban pertama adalah pada 30 Julai lalu, manakala pusingan ketiga pula akan bermula pada 2 November nanti.

Menurutnya, projek terbabit dijangka mampu mengeluarkan bekalan ayam pedaging menerusi enam pusingan setahun bagi semua reban yang dibina.

Reban pertama yang telah mula beroperasi sejak 30 Julai lalu.

“Walaupun hanya 60,000 ekor ayam pedaging yang menariknya kita dapat membantu kalau ada program-program anjuran agensi kerajaan untuk program jualan murah.

“Seperti baru-baru ini, kita mulakan dengan program Jualan Rahmah ayam pedaging yang kita jual di bawah harga kos,” jelas beliau.

Sementara itu, Ahmad Jazlan menyeru agensi kerajaan terutamanya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) agar mengadakan libat urus bersama Felcra bagi mendapatkan bekalan ayam pedaging dengan harga yang murah.

Katanya, matlamat utama Felcra menerusi projek tersebut adalah untuk membantu rakyat di kawasan-kawasan yang terdesak untuk mendapatkan bekalan ayam pedaging.

Sebagai rekod, projek ternakan ayam berskala besar secara sistem tertutup itu merupakan antara empat projek yang dilaksanakan di kawasan luar bandar seluruh negara bagi menampung keperluan bekalan makanan.

Tiga lokasi lain membabitkan Sungai Damak, Lipis, Pahang (250,000 ekor/pusingan); Padang Terap, Kedah (250,000 ekor/pusingan), dan Paloh 4, Gua Musang, Kelantan (250,000 ekor/ pusingan). – MalaysiaGazette